Harga koko dunia melonjak 141%, pengusaha raih pulangan tinggi - Lembaga Koko Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Harga koko dunia melonjak 141%, pengusaha raih pulangan tinggi - Lembaga Koko Malaysia

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 19 Ogos – Peningkatan mendadak harga koko dunia menjadikan tanaman ini antara komoditi yang berpotensi tinggi untuk menjana pulangan lumayan, menurut Lembaga Koko Malaysia (LKM).


Agensi berkenaan memaklumkan, secara purata harga biji koko kering sepanjang 2024 melonjak sebanyak 141% kepada RM24,274 setiap tan berbanding hanya kira-kira RM10,073 satu tan pada tahun sebelumnya.


Sebagai langkah proaktif, LKM mengumumkan pelaksanaan Program Galakan Penanaman Koko bagi Sektor Perladangan dari 2025 hingga 2030, dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM550,000 setahun.


“Lonjakan harga ini menjadikan koko sebagai pilihan komoditi strategik bagi sektor perladangan untuk mempelbagaikan hasil dan meningkatkan daya saing industri pertanian negara,” katanya dalam kenyataan.


Mengulas lanjut, LKM menambah, melalui program galakan tersebut, ia akan mengagihkan anak benih koko yang berkualiti tinggi secara percuma, di samping memberi pelbagai bentuk sokongan kepada petani.


Langkah berkenaan termasuk bantuan bimbingan teknikal, latihan amali dan pemantauan secara berterusan bagi memastikan penanaman koko yang diusahakan itu dilaksanakan mengikut amalan pertanian terbaik.


“Beberapa syarikat perladangan tempatan telah pun tampil untuk menyertai program ini yang melibatkan kawasan pertanian berkeluasan 360 hektar setakat ini,” jelas kenyataan LKM tersebut.


Syarikat-syarikat yang terpilih akan menerima sebanyak 5,000 anak pokok koko bernilai RM50,000, selain khidmat nasihat teknikal dalam pembangunan tapak semaian dan sistem penanaman koko.


Tambah agensi itu, dalam tempoh lima tahun, program tersebut menyasarkan untuk memperluaskan kawasan penanaman koko yang aktif sehingga dapat mencecah seluas 2,750 hektar di seluruh negara.


"Langkah ini dilihat penting dalam usaha meningkatkan pengeluaran koko secara mampan bagi menampung permintaan pengilang tempatan dan menjadikan Malaysia sebagai pengeluar koko," katanya.


LKM menjelaskan, ketika ini koko daripada jenis baka premium dan ‘single origin’ semakin mendapat tempat di pasaran antarabangsa untuk proses pembuatan pelbagai produk coklat yang bermutu tinggi.


Terdahulu, LKM telah menganjurkan Program Libat Urus Galakan Penanaman Koko Bagi Sektor Perladangan Zon Sarawak di Kuching, hari ini yang berjaya menghimpunkan seramai 94 peserta dari negeri itu.


"Ia bertujuan untuk memberi penerangan lanjut mengenai insentif ditawarkan kepada peserta selain menerangkan potensi industri koko dalam mendepani landskap komoditi global yang kompetitif," katanya.


Dengan sokongan harga yang semakin kukuh dan inisiatif kerajaan melalui LKM, industri koko tempatan tambahnya, dilihat berpotensi kembali menjadi antara penyumbang utama sektor pertanian negara.


Perkembangan positif itu kata LKM, dijangka membuka peluang baharu kepada pemain perladangan tempatan untuk mempelbagaikan penanaman dan pertumbuhan mampan. - DagangNews.com