Harga IPO AMS Advanced masih murah, berpotensi naik dipacu sektor semikonduktor global – RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Harga IPO AMS Advanced masih murah, berpotensi naik dipacu sektor semikonduktor global – RHB Research

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 10 AprilAMS Advanced Material Berhad dijangka menjadi antara syarikat tempatan utama kepada pertumbuhan sektor semikonduktor global, menurut analisis RHB Research hari ini.


Sehubungan itu, firma penyelidikan tersebut menyifatkan harga tawaran awam permulaan (IPO) saham syarikat berkenaan yang ditetapkan pada 29 sen sebagai masih lagi rendah dan berpotensi naik lagi.


Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan tersebut berada pada kedudukan strategik untuk meraih manfaat daripada pemulihan industri cip, didorong peningkatan jualan semikonduktor global.


“Dengan sumbangan sektor semikonduktor yang semakin besar dan bermargin tinggi, penilaian IPO pada 12 kali nisbah harga kepada pendapatan (P/E) bagi FY27 dilihat agak rendah,” kata RHB Research.


Dalam notanya, firma itu berkata, AMS Advanced dijangka mengumpul dana RM32.8 juta daripada IPO itu yang akan digunakan untuk pengembangan loji serta memperluas penawaran produk dan perkhidmatan.


Syarikat itu, yang mengkhususkan dalam aluminium separa siap, sudah memperkukuh rantaian nilai dengan menceburi aktiviti pemprosesan pada 2024, dan peningkatan ketara jualan semikonduktor.

 

AMS Advanve_DagangNews



Segmen tersebut kata RHB Research, kini penyumbang hasil terbesar kumpulan itu, manakala segmen automotif mencatat kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) 499% bagi tempoh FY23 hingga FY25.


"Pelanggan dalam sektor aeroangkasa dan semikonduktor menyumbang 57% daripada hasil AMS Advanced, serta menyokong margin lebih tinggi serta profil pendapatan yang lebih berdaya tahan," katanya.


Dalam usaha memperkukuh pertumbuhan, syarikat itu juga merancang pembukaan kemudahan Licensed Manufacturing Warehouse (LMW) di Pulau Pinang bagi menyokong segmen peralatan ujian semikonduktor.


Ujar RHB Research, kumpulan itu turut berhasrat menceburi perniagaan kitar semula melalui anak syarikat, AMS Ecogreen, yang akan memproses sisa aluminium untuk dieksport ke seluruh dunia.


Justeru firma itu menetapkan nilai saksama (FV) 34 sen sesaham, bersandarkan unjuran 14 kali ganda nisbah harga kepada pendapatan (P/E) FY27, dengan diambil kira prospek pertumbuhan yang kukuh.


"Bagaimanapun, antara risiko utama AMS Advanced termasuk kebergantungan tinggi kepada pelanggan utama, turun naik kadar pertukaran wang asing serta kelembapan dalam sektor tertentu," katanya.


Kumpulan itu yang menerbitkan sejumlah 113 juta saham baharu bersempena IPO tersebut, dan bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 23 April 2026. - DagangNews.com