KUALA LUMPUR 28 Nov — QL Resources Berhad mencatat keputusan 2QFY26 terjejas ketara berikutan harga dan volum ikan yang rendah, serta jualan daripada rangkaian kedai serbaneka (CVS) masih lemah.
Keadaan itu menekan margin kumpulan serta memberikan kesan besar kepada pelbagai segmen kumpulan tersebut dengan tiga firma penyelidikan memberikan pandangan yang bercampur dan berhati-hati.
MBSB Research menyifatkan keputusan suku kedua sebagai sejajar jangkaan, dengan keuntungan bersih teras RM116.2 juta, naik 15.5% suku ke suku (QoQ) tetapi merosot 9.4% tahun ke tahun (YoY).
"Ini membawa prestasi 1HFY26 kepada paras 43% daripada unjuran, dan kami mengekalkan harga sasaran (TP) RM4.33 sesaham dengan saranan yang masih tidak berubah iaitu 'neutral'," katanya dalam nota.
Menurutnya, situasi itu berikutan kelemahan dalam segmen pembuatan produk marin (MPM), penternakan ternakan bersepadu (ILF) serta minyak sawit dan tenaga bersih (POCE) disebabkan beberapa faktor.
Antaranya kata MBSB Research, volum dan harga rendah hampas ikan, harga bahan mentah ternakan menyusut, serta kelewatan penghantaran minyak sawit mentah (MSM) selain sumbangan solar yang kecil.
Bagaimanapun, ILF menunjukkan prestasi lebih kukuh berikutan margin telur yang mulai pulih selepas penamatan harga siling oleh kerajaan serta prestasi syarikat semakin baik pula di pasaran Vietnam.
"Segmen CVS hanya mencatat pertumbuhan sederhana walaupun rangkaian FamilyMart berkembang sebanyak 55 kedai dan 42 pula berkonsepkan mini, disebabkan sentimen pengguna masih lembap," katanya.
Maybank Investment Bank turut melaporkan keputusan yang menepati jangkaan, dengan keuntungan bersih 2QFY26 memenuhi 47% unjuran tahun penuh serta mengekalkan saranan 'pegang' dan TP RM4.25 sesaham.
Bagaimanapun firma itu menegaskan kelemahan ketara YoY dalam segmen utama dengan MPM susut 11% YoY akibat hasil tangkapan ikan yang rendah dan harga jualan purata (ASP) hampas ikan yang mendatar.
ILF pula merosot 10% YoY disebabkan ASP dagangan bahan mentah yang rendah, manakala POCE turut jatuh 10% YoY akibat penghantaran MSM yang perlahan dan kemajuan projek solar didapati lebih lemah.
"Margin turut terhakis dalam kebanyakan segmen kecuali ILF, yang menerima manfaat daripada prestasi lebih baik di Indonesia dan Vietnam serta permintaan kukuh bagi telur berjenama," kata Maybank IB.
Sementara itu, CGS International menurunkan taraf saranan kepada 'kurang' daripada 'pegang', dengan TP sesaham disusutkan kepada RM3.90 berbanding RM4.37, ekoran keputusan lemah daripada unjuran.
Ia menekankan bahawa MPM menyumbang 54% kepada penurunan keuntungan sebelum cukai YoY pada 1HFY26, terutama kerana volum dan harga harga hampas ikan yang merosot secara ketara.
Segmen POCE pula jelasnya, menerima tamparan hebat akibat penamatan skim pemeteran tenaga bersih NEM 3.0, yang mengurangkan insentif solar dan mengekang pertumbuhan pendapatan bahagian tenaga.
"Walaupun ILF menunjukkan peningkatan kecil berikutan kos makanan lebih rendah dan pengukuhan jualan telur berjenama, kami tetap berhati-hati menilai QL Resources," kata CGSI. - DagangNews.com








