KUALA LUMPUR 20 Mac — Well Chip Group Berhad bersedia dengan situasi lonjakan harga emas apabila ramai pengguna beralih kepada pinjaman pajak gadai, berikutan penurunan kadar kelulusan untuk perkhidmatan pinjaman konvensional, kata Kenanga Research.
Firma penyelidikan itu berkata, perkembangan tersebut susulan harga emas mencapai paras tertinggi dalam sepanjang masa di pasaran global apabila berjaya mencecah AS$3,055.96 (kira-kira RM13,526.67) pada Khamis.
Dalam nota mengenai prospek syarikat itu, ia berkata harga emas yang mencapai rekod paling tinggi dijangka menambah baik kadar pengeluaran pinjaman gadai kerana pemegang emas boleh mengeluarkan jumlah yang lebih tinggi.
"Kami percaya pemegang pajak gadai akan kekal sebagai alternatif popular kepada pinjaman tradisional, terutama bagi komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan kredit," kata Kenanga Research dalam satu nota kajiannya.
Trend ini katanya, sejajar dengan trend kemerosotan kadar kelulusan pinjaman peribadi, yang turun daripada 41 peratus pada 2013 kepada 34 peratus pada 2024, manakala kad kredit pula jatuh daripada 63 peratus pada 2013 kepada 47 peratus.
Harga emas yang kukuh kata firma penyelidikan tersebut, turut membolehkan nilai pinjaman gadaian yang lebih tinggi, dengan cagaran emas dijangka menyumbang sebanyak 90 peratus daripada cagaran berkumpulan.
Walaupun kejatuhan harga emas menimbulkan beberapa risiko, Kenanga Research berkata, Well Chip dilindungi oleh margin 95 peratus pada gadaian emas dan dalam kes tertentu, kumpulan itu boleh menjual semula surat janji pada kadar yang lebih baik.
Justeru kata Kenanga Research, hanya penurunan mendadak dalam harga emas global akan memberi kesan ketara kepada pemegang pajak gadai dengan pinjaman terjejas kasar semasanya berjulat antara tujuh dan lapan peratus.
Firma penyelidikan itu menilai Well Chip pada RM1.60 sesaham, dengan premium lebih daripada 60 peratus kepada harga permintaan semasanya, dan memberikan saranan "tambah" pada saham manakala konsensus menilai ia pada RM1.43 sesaham.
Saham syarikat tersebut didagangkan pada 98 sen sebelum ini, yang memberikan kumpulan berkenaan dengan permodalan pasaran sebanyak RM588 juta dan ia telah jatuh hampir 11 peratus pada tahun ini.
Harga saham itu telah turun daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak RM1.15 sesaham, yang mungkin didorong oleh faktor kelewatan dalam rancangan pengembangan syarikat, kata Kenanga Research.
Kira-kira RM40 juta daripada hasil IPO itu diperuntukkan untuk meluaskan premisnya, setelah mengenal pasti lima lokasi baharu di Johor dan dua di Melaka, yang akan menjadikan kiraan lokasinya meningkat kepada 30 daripada 23.
"Kami berpendapat penjualan baru-baru ini dalam Well Chip didorong oleh kelewatan dalam pengembangan cawangan pajak gadainya, yang menjadi ciri utama IPO. Kebimbangan mungkin akan hilang dengan penubuhan cawangan secara beransur-ansur," katanya.
Bagaimanapun kata firma penyelidikan itu, kumpulan tersebut sebenarnya masih menunjukkan pertumbuhan pendapatan yang kukuh daripada jejak yang sedia ada.
Well Chip pernah merancang untuk membuka empat cawangan setahun sejak penyenaraian di Bursa Malaysia pada Julai 2024 tetapi menghadapi pula isu kelewatan.
Cawangan pertama di Johor dijangka dilancarkan menjelang suku kedua tahun kewangan 2025 (2QFY2025), dengan enam lagi dijangka menjelang akhir FY2025.
Kenanga Research berkata, cawangan baharu kebiasaannya akan dapat pulang modal dalam tempoh 18 hingga 24 bulan, yang berpotensi menjadi pertambahan keuntungan menjelang FY2027. - DagangNews.com








