KUALA LUMPUR 5 Mac – Musim pelaporan kewangan terkini syarikat tersenarai di Malaysia menunjukkan prestasi positif apabila mengatasi jumlah yang mencatatkan keputusan mengecewakan penganalisis.
CGS International berkata, 28% daripada 95 syarikat di bawah liputannya mencatat prestasi melebihi jangkaan, manakala 24% gagal memenuhi unjuran, sementara baki berada selari dengan anggarannya.
Keuntungan teras bagi tahun kewangan 2025 syarikat-syarikat tersebut mencapai 99.5% daripada unjuran, menandakan musim pelaporan sehingga 28 Februari 2026 secara keseluruhannya adalah stabil.
"Beberapa faktor utama menyokong prestasi korporat termasuk pengukuhan ringgit membantu perluasan margin keuntungan, dan pemulihan margin faedah bersih (NIM) sektor perbankan," kata firma itu.
Dalam nota analisisnya hari ini, CGSI menambah, pertumbuhan berkenaan turut didorong peningkatan pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) dan perubahan faktor bermusim dalam perbelanjaan pengguna.
Jelasnya, sektor telekomunikasi dan pengangkutan mencatat prestasi melebihi jangkaan, manakala sektor pengguna, perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS), dan petrokimia adalah sebaliknya.
Firma itu turut menilai pengukuhan ringgit sehingga akhir Februari 2026 yang meningkat sekitar 4.2% sejak awal tahun dijangka terus menyokong margin keuntungan syarikat tersebut hingga 3Q26.
"Pada masa sama, kami menjangkakan aktiviti ekonomi domestik terus disokong oleh faktor bermusim termasuk sambutan perayaan seperti Tahun Baharu Cina, dan Hari Raya Aidilfitri," tambah CGSI.
SARA bantu pacu ekonomi
Di samping itu ujarnya, peningkatan bantuan tunai kerajaan pada suku pertama tahun ini juga memacu ekonomi manakala, bagi sektor perbankan pula, pemulihan margin faedah bersih adalah lebih kukuh.
Nisbah pembayaran dividen sektor itu meningkat kepada 55% pada FY25 berbanding 49% pada FY24, sekali gus membuka ruang kepada pembayaran dividen yang lebih tinggi pada tahun kewangan 2026.
Selain itu kata CGSI, keuntungan sektor perladangan bagi FY25 turut disokong oleh pengeluaran MSM yang lebih tinggi dengan harga komoditi berkenaan didapati kekal melebihi RM4,000 setiap tan
"Bagaimanapun, kami memberi amaran mengenai konflik geopolitik di Timur Tengah boleh menjadi risiko terbesar kepada pendapatan dan penilaian ekuiti Malaysia pada FY26 pula," jelasnya.
Firma itu namun berpendapat kesannya buat masa ini bersifat sementara dan tidak menjejaskan prestasi pendapatan korporat dalam tempoh terdekat, khususnya bagi laporan separuh pertama 2026.
Yakin cecah 1,810 mata
Sehubungan itu, CGSI terus mengekalkan pandangan positif terhadap pasaran saham Malaysia dengan sasaran indeks penanda aras FTSE KLCI (FBMKLCI) mampu mencecah 1,810 mata menjelang akhir 2026.
Keyakinan tersebut tambahnya disokong pertumbuhan pendapatan sebanyak 8.5% tahun ke tahun (YoY) serta potensi penilaian semula harga kepada nisbah harga-ke-pendapatan sasaran 15.5 kali.
"Antara tema pelaburan utama yang terus diberi tumpuan termasuk permintaan domestik kukuh, kitaran pelaburan bertambah baik, kejelasan dasar kerajaan, dan harga harga MSM semakin sihat," katanya.
CGSI turut menyenaraikan beberapa saham dilihat berkeyakinan tinggi termasuk Malayan Banking Berhad, Tenaga Nasional Berhad, SD Guthrie Berhad, RHB Bank Berhad dan Gamuda Berhad. - DagangNews.com








