KUALA LUMPUR 18 Dis - Haily Group Berhad memperoleh kontrak pembinaan bernilai RM98.0 juta di Setia Tropika, Johor Bahru, sekali gus mengukuhkan buku pesanan kumpulan itu dan memberikan keterlihatan pendapatan sehingga tahun kewangan 2029.
Haily menerusi anak syarikat milik penuhnya, Haily Construction Sdn Bhd, telah menerima kontrak bernilai RM97.997 juta daripada Setia Indah Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh S P Setia Berhad, kata syarikat itu dalam kenyataan media hari ini.
Projek tersebut melibatkan pembinaan dan penyiapan 311 unit kediaman, bersama kerja-kerja infrastruktur sokongan dan luaran, merangkumi dua presint di Setia Tropika, Mukim Tebrau, Johor Bahru.
Skop kerja merangkumi 108 unit rumah bandar dua tingkat mampu milik di bawah Residensi Lili (Presint 12) serta 203 unit rumah teres dua tingkat di bawah Summera Grove (Presint 13).
Kerja-kerja infrastruktur turut melibatkan pembinaan beberapa pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB), pondok pengawal, pagar perimeter, sistem perparitan, kerja-kerja jalan, utiliti, landskap, serta penambahbaikan infrastruktur luaran di sepanjang Jalan Setia Tropika Utama dan Jalan Lingkaran Setia Tropika.
Pembinaan dijadualkan bermula pada 22 Disember 2025 dan siap pada 21 Jun 2027, dengan sumbangan pendapatan dijangka direkodkan sepanjang tahun kewangan 2026 dan 2027.
Pengasas dan Pengarah Eksekutif Haily Group Berhad, See Tin Hai berkata penganugerahan kontrak tersebut merupakan satu pencapaian penting buat kumpulan itu kerana ia merupakan projek pertama yang diperoleh bersama Kumpulan S P Setia.
“Penganugerahan ini menandakan satu pencapaian penting buat Haily sebagai projek pertama kami bersama Kumpulan S P Setia. Kami kekal fokus kepada pelaksanaan berdisiplin dan penyampaian mengikut piawaian, dan kami percaya projek ini menjadi asas kukuh untuk membina hubungan kerja jangka panjang serta mengukuhkan kehadiran kami dalam pembangunan kediaman dan perbandaran di Johor,” katanya.
Selepas penganugerahan terbaharu ini, jumlah kumulatif kontrak yang diperoleh Haily meningkat kepada kira-kira RM1.36 bilion merangkumi 28 projek yang sedang berjalan, selepas mengambil kira penambahan projek baharu serta penyiapan atau pelarasan kerja-kerja terdahulu. Keadaan ini terus memberikan keterlihatan hasil jangka sederhana yang jelas kepada kumpulan.
Kontrak baharu itu turut mengukuhkan kedudukan Haily dalam segmen kediaman bertanah dan perumahan mampu milik, yang terus mencatat permintaan mampan di Johor, disokong oleh pertumbuhan penduduk, pengembangan perbandaran dan tahap kesalinghubungan yang semakin baik.
Penamatan kontrak di Kulai
Dalam kenyataan sama, kumpulan itu turut mengumumkan penamatan secara bersama satu kontrak lama yang dianugerahkan pada 2019 oleh Y.Architects Sdn Bhd bagi pihak TEK Land Sdn Bhd, melibatkan cadangan pembinaan pejabat kedai di Kulai, Johor, dengan nilai kontrak RM9.41 juta.
Haily menjelaskan penamatan tersebut berikutan tarikh jangkaan permulaan projek pada 1 Oktober 2019 telah berlalu dan projek berkenaan tidak pernah dimulakan sejak tarikh asal yang dijadualkan.
Penamatan itu bersifat bukan operasi dan tidak memberi kesan material terhadap pendapatan, aset bersih atau operasi kumpulan. - DagangNews.com








