Had umur 16 tahun akaun media sosial: Langkah wajar tapi perlu didik kematangan digital – Pakar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Had umur 16 tahun akaun media sosial: Langkah wajar tapi perlu didik kematangan digital – Pakar

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 20 Okt - Cadangan kerajaan untuk menetapkan had umur minimum 16 tahun bagi memiliki akaun media sosial mendapat perhatian pelbagai pihak, termasuk kalangan akademik yang melihat langkah itu sebagai wajar, namun perlu disokong dengan usaha membangunkan kematangan pemikiran dan disiplin digital dalam kalangan generasi muda.

 

Menurut Kementerian Komunikasi, langkah tersebut bertujuan memberi perlindungan maksimum kepada kanak-kanak dan remaja daripada bahaya dalam talian seperti eksploitasi seksual, pemerasan, buli siber dan aktiviti “grooming”.

 

Kajian UNICEF pada tahun 2023 mendapati sekurang-kurangnya 4% daripada pengguna internet berumur 12 hingga 17 tahun di Malaysia pernah mengalami eksploitasi seksual dalam talian, manakala sekitar 30% remaja mengaku menjadi mangsa buli siber.

 

Dalam satu lagi kajian terhadap hampir 1,000 pelajar, lebih 74% pernah terdedah kepada kandungan pornografi sekurang-kurangnya sekali dalam hidup mereka.

 

Mengapa 16 tahun?

Kerajaan berpandangan usia 16 tahun ialah titik seimbang kerana pada tahap itu, kebanyakan remaja dianggap lebih matang dari segi psikologi untuk memahami batas keselamatan digital serta kesan media sosial terhadap diri mereka.

 

Langkah ini juga diharap dapat menggalakkan platform media sosial memastikan penapisan kandungan lebih bertanggungjawab dan penggunaannya sejajar dengan norma tempatan.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan cadang larangan penggunaan telefon pintar untuk remaja bawah umur 16 tahun, susulan peningkatan kes keganasan di sekolah – PM Anwar

 

Namun begitu, cadangan itu turut menimbulkan beberapa persoalan praktikal, termasuk isu kebebasan bersuara, mekanisme pengesahan identiti, perlindungan data peribadi serta bagaimana akaun sedia ada milik pengguna bawah umur akan dikendalikan.

 

Dalam mengulas perkara ini, Pensyarah Kanan Pemasaran Digital Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM,  Afizan Amer berkata pendekatan kerajaan itu perlu dilihat dalam konteks lebih luas — bukan sekadar soal umur, tetapi juga tahap kematangan pemikiran dan pendidikan awal anak-anak.

 

 

afizan amer
Afizan Amer, Pensyarah Kanan Pemasaran Digital Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM

 


“Penyelidikan menunjukkan kebanyakan pakar mencadangkan usia antara 13 hingga 16 tahun sebagai tempoh sesuai untuk pendedahan kepada media sosial, bergantung kepada kematangan fikiran.

 

"Namun, kematangan itu berbeza di setiap negara, bergantung kepada cara kanak-kanak dibesarkan di rumah dan kandungan silibus pendidikan di sekolah,” katanya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan hantar delegasi ke Singapura bincang kaedah kawalan had umur dengan pengendali media sosial - Menteri Komunikasi

 

Kemantangan Penggunaan Media Sosial

Beliau menjelaskan, masalah utama yang mendorong kerajaan menetapkan had umur bukanlah pada penggunaan media sosial itu sendiri, tetapi pada cara dan kematangan penggunaannya. “Kita tidak mahu situasi lain yang sakit, lain pula ubat yang diberi,” katanya.

 

Afizan menambah bahawa pendidikan awal di rumah memainkan peranan penting dalam membentuk anak-anak era digital.

 

Menurutnya, ibu bapa muda perlu lebih bersedia dan sistem sokongan seperti kursus pra-perkahwinan wajar dikemas kini supaya sejajar dengan cabaran mendidik generasi yang hidup di dunia maya.

 

Dalam masa sama, beliau berpandangan silibus sekolah perlu dikembalikan kepada semangat Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menekankan keseimbangan jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI).

 

“Benar, elemen ini masih ada dalam sistem kita, tetapi rohnya sudah pudar,” katanya sambil mengingatkan cadangan Perdana Menteri ketika menjadi Menteri Pendidikan dahulu agar falsafah itu diperkasa menjadi JERIS dengan memasukkan unsur spiritual bagi membentuk insan lebih matang.

 

Afizan mengumpamakan pembangunan insan seperti membina komputer — bukan sekadar menyiapkan “hardware”, tetapi juga perlu membangunkan “software” seperti nilai, etika dan kebijaksanaan.

 

“Menetapkan umur 16 tahun ibarat membangunkan hardware segera, tetapi tanpa membina software-nya untuk jangka panjang, hasilnya tidak akan berkesan,” katanya.

 

Beliau menegaskan, menetapkan had umur hanyalah langkah awal yang mesti diiringi dengan dasar pendidikan, kesedaran keluarga dan literasi digital yang mantap.

 

“Jika kematangan dan kualiti pemikiran anak-anak dipupuk serentak, barulah mereka bukan sekadar dilindungi, tetapi mampu menjadi pengguna media sosial yang bijak dan beretika,” ujarnya.


 

MCMC

 


Kempen berasas komuniti

Selain itu, Afizan turut mencadangkan agar inisiatif kerajaan disertai kempen pendidikan digital berasaskan komuniti, termasuk kerjasama antara sekolah, ibu bapa dan syarikat telekomunikasi bagi membimbing penggunaan teknologi dengan selamat.

 

Menurutnya, pendedahan kepada media sosial tidak dapat dielakkan dalam dunia moden, namun pencegahan dan pendidikan serentak mampu menjadikan anak-anak lebih berdaya tahan terhadap risiko siber.

 

“Apabila kita bercakap tentang perlindungan digital, ia bukan sekadar menyekat akses, tetapi membina daya tahan mental, nilai dan kefahaman tentang kesan sosial dalam dunia maya,” katanya lagi.

 

Pakar itu percaya cadangan had umur ini boleh menjadi titik permulaan kepada pembaharuan dasar literasi digital negara, asalkan ia disusuli pelaksanaan menyeluruh melibatkan pelbagai kementerian dan agensi supaya matlamat perlindungan generasi muda benar-benar tercapai. - DagangNews.com