KUALA LUMPUR 17 Okt – Melarang penggunaan telefon pintar bagi remaja bawah umur 16 tahun antara beberapa langkah dicadangkan bagi menangani peningkatan kes keganasan di sekolah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, mesyuarat Kabinet hari ini telah membincangkan secara panjang lebar terhadap isu pendidikan, disiplin pelajar dan kebimbangan awam.
“Kita dapati bahawa pengaruh media sosial, serta permainan dalam talian, menyumbang kepada tingkah laku yang membimbangkan,” kata Anwar kepada media selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Jannatul Firdaus PPAM Seruling, Presint 5, Putrajaya hari ini.

Menurut Perdana Menteri, turut dibincangkan ialah langkah-langkah oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan pihak polis untuk mempertingkat pemantauan keselamatan di sekolah-sekolah seluruh negara.
Beliau menambah, antara cadangan lain yang dibangkitkan termasuklah pembangunan kandungan pendidikan beretika yang turut melibatkan ibu bapa dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
“Pertama ialah soal keselamatan; kedua, media sosial; dan ketiga, kandungan pendidikan beretika yang melibatkan ibu bapa dan PIBG untuk bantu kawal anak-anak mereka,” katanya.
Tambah Anwar lagi, perkara tersebut akan diperincikan selanjutnya oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan beliau berharap agar semua pihak termasuk pengetua, guru-guru dan ibu bapa dapat memberi kerjasama penuh.
Anwar menegaskan keputusan berkaitan pendidikan dan masa depan kanak-kanak tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa.
“Kita tidak boleh bertindak balas secara tergesa-gesa. Keputusan mesti dibuat secara teliti dan menyeluruh,” katanya.
Semalam Anwar memberitahu Kabinet akan membincang dan membuat keputusan mengenai isu disiplin dan keselamatan membabitkan pelajar, susulan laporan beberapa insiden tidak wajar sejak kebelakangan ini.
Kenyataan itu dibuat susulan insiden tragis pada Selasa lalu apabila seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun didakwa menikam seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di luar tandas perempuan pada jam 9.10 pagi menggunakan senjata yang dibawa ke sekolah.
Mangsa meninggal dunia akibat beberapa tikaman di bahagian dada dan leher. Saspek kini direman selama tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Dalam perkembangan yang sama, Perdana Menteri turut mengingatkan pihak sekolah dan ibu bapa supaya memberikan kerjasama sepenuhnya dalam menangani kes buli di institusi pendidikan serta tidak melindungi pelaku atas alasan ingin menjaga imej sekolah.
Beliau berkata sikap sesetengah pentadbir sekolah yang cuba menutup kes buli kerana menganggapnya kecil atau tidak serius hanya akan menyebabkan masalah itu menjadi lebih besar pada masa hadapan.
"Peringatan kepada sekolah, jangan melindungi walaupun kes buli kecil, ia tetap jenayah... bukan semua perkara boleh dianggap kesalahan ringan dan bagi guru pula, yang mungkin masih berpegang kepada pendekatan pendidikan lama, kita terdidik dalam sistem itu.
"Janganlah sampai memukul atau menghentak kepala pelajar sehingga menyebabkan luka... namun, bagi guru untuk menegur, memberi nasihat atau mengambil tindakan ringan sedikit, itu boleh diterima," katanya. - DagangNews.com








