KUALA LUMPUR 24 April – Pelaksanaan penggunaan biodiesel B15 di Malaysia akan dipacu pembangunan hab biofuel di Pengerang, Johor sebagai langkah strategik memperkukuh keterjaminan tenaga negara, kata Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Menurut beliau, inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada usaha lebih menyeluruh kerajaan bagi meningkatkan daya tahan negara terhadap gangguan rantaian bekalan global akibat ketegangan geopolitik, kenaikan kos input dan ketidaktentuan perdagangan antarabangsa.
Dasar biodiesel B15 merujuk kepada peningkatan campuran bahan api kepada 15% metil ester berasaskan minyak sawit dan 85% diesel petroleum, yang akan dilaksanakan secara berperingkat bermula daripada B12.
Pengerang yang menempatkan aset industri utama seperti Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) dan All Cosmos Industries Sdn. Bhd. (ACI), memainkan peranan penting dalam ekosistem tenaga, petrokimia dan baja negara.
Akmal Nasrullah berkata, PIC berfungsi memastikan kestabilan bekalan bahan api dan produk petrokimia domestik yang menjadi input utama kepada industri hiliran termasuk pembuatan plastik.
Dengan kapasiti penapisan sekitar 300,000 tong sehari dan pengeluaran petrokimia melebihi 3.3 juta tan setahun, kompleks itu turut menyokong eksport produk bernilai tambah tinggi.

Sementara itu, lawatan ke ACI memberi tumpuan kepada cabaran industri baja tempatan, khususnya ketidaktentuan bekalan bahan mentah, peningkatan kos logistik dan tekanan harga input.
Perbincangan bersama syarikat itu tertumpu kepada langkah memperkukuh daya tahan industri termasuk mempelbagaikan sumber bahan mentah, meningkatkan kecekapan pengeluaran serta memperluas kapasiti bagi memenuhi permintaan domestik.
Kerajaan juga menggalakkan penggunaan baja bio-organik sebagai alternatif kepada baja konvensional bagi mengurangkan kebergantungan kepada input import serta memastikan bekalan lebih mampan ketika berdepan kekangan global.
Model pengeluaran ACI yang menggabungkan nisbah 20:80 antara baja bio-organik dan konvensional dilihat sebagai pendekatan lebih seimbang dan mampan, sekali gus menyokong objektif jangka panjang keterjaminan makanan negara. - DagangNews.com








