GuocoLand Malaysia bentang cadangan penswastaan pada EGM akan datang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

GuocoLand Malaysia bentang cadangan penswastaan pada EGM akan datang

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 27 Mac - GuocoLand (Malaysia) Bhd akan membentangkan cadangan penswastaan oleh pemegang saham pengawalnya pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang akan diadakan pada tarikh yang akan ditetapkan kelak.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata lembaga pengarah — tidak termasuk pengarah berkepentingan — telah meneliti cadangan tersebut selepas mengambil kira nasihat penasihat bebas sebelum memutuskan untuk mengemukakan resolusi kepada pemegang saham yang tidak berkepentingan bagi mendapatkan kelulusan.

 

Cadangan itu dikemukakan oleh GLL (Malaysia) Pte Ltd (GLLM), pemegang saham pengawal, yang sebelum ini pada 3 Februari mencadangkan penswastaan syarikat melalui pelaksanaan pengurangan modal terpilih dan pembayaran balik modal pada harga RM1.10 sesaham.

 

Berdasarkan cadangan itu, pemegang saham layak yang memiliki 244.95 juta saham atau 34.97% kepentingan dalam syarikat dijangka menerima pembayaran balik modal berjumlah RM269.45 juta.

 

GuocoLand Malaysia merupakan cabang hartanah kepada Hong Leong Group yang dikawal oleh Tan Sri Quek Leng Chan. Beliau yang memegang 2.78% kepentingan langsung atau 19.51 juta saham dalam syarikat itu dijangka menerima sebanyak RM21.46 juta daripada pelaksanaan tersebut.

 

GLLM, anak syarikat milik penuh GuocoLand Ltd yang disenaraikan di Singapura, memaklumkan bahawa pelaksanaan penswastaan itu akan dibiayai menggunakan lebihan tunai dalam GuocoLand Malaysia, manakala bakinya akan dipenuhi melalui pendahuluan atau suntikan ekuiti daripada GLLM atau syarikat induknya.

 

Selepas pelaksanaan selesai, sebanyak 244.95 juta saham akan dibatalkan di bawah pengurangan modal terpilih, sekali gus mengurangkan jumlah saham terbitan kepada 455.51 juta.

 

Kesemua baki saham akan dimiliki sepenuhnya oleh GLLM, menjadikan GuocoLand Malaysia sebagai anak syarikat milik penuh secara tidak langsung kepada GuocoLand Ltd. Ketika ini, GLLM memegang 65.03% kepentingan dalam syarikat tersebut.

 

Dalam pada itu, GLLM tidak berhasrat untuk mengekalkan status penyenaraian GuocoLand Malaysia dan akan memohon untuk menyahsenarai syarikat itu daripada Bursa Securities selepas pelaksanaan selesai.

 

Saham GuocoLand Malaysia ditutup tidak berubah pada RM1.06 pada Khamis, dengan permodalan pasaran sekitar RM742 juta. - DagangNews.com