GuocoLand catat kerugian bersih RM6.2 juta bagi 3QFY26 berikutan pelarasan susut nilai projek PJ City | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

GuocoLand catat kerugian bersih RM6.2 juta bagi 3QFY26 berikutan pelarasan susut nilai projek PJ City

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 8 MeiGuocoLand (Malaysia) Berhad mencatatkan kerugian bersih RM6.21 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Mac 2026, berbanding keuntungan bersih RM1.83 juta dilaporkan pada 3QFY25.


Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, prestasi negatif itu berpunca terutama daripada pelarasan susut nilai inventori secara sekali sahaja berjumlah RM7.2 juta yang berkaitan dengan projek PJ City. 


Selain itu, margin keuntungan turut terkesan oleh pemberian rebat tambahan bagi pakej jualan baharu di bawah projek Emerald 9, dan hasil daripada segmen mampu milik yang menawarkan margin rendah.


"Bagaimanapun hasil GuocoLand mencatatkan peningkatan sebanyak 57.2% kepada RM151.8 juta bagi 3QFY26 berbanding RM96.6 juta dilaporkan pada suku sama setahun sebelumnya," kata kumpulan itu.


Ujarnya, pertumbuhan pendapatan ini didorong oleh faktor kemajuan jualan dan binaan projek Emerald 9 di Cheras, Selangor serta jualan unit yang tinggi di Oval KL dan DC Residensi di ibu negara.


Bagi tempoh kumulatif sembilan bulan, syarikat masih mencatatkan keuntungan bersih berjumlah RM6.56 juta, namun angka itu menunjukkan penurunan berbanding RM12.11 juta bagi tempoh sama FY25.


Mengenai prospek masa depan, GuocoLand terus menumpukan usaha menyiapkan projek pembangunan tepat pada masanya dan mempergiat penjualan inventori siap bagi memperkukuh aliran tunai syarikat. 


"Syarikat pemaju hartanah ini juga sedang memantau dengan rapi kesan akibat konflik di rantau Timur Tengah yang mula memberi tekanan inflasi terhadap kos pembinaan dan operasi," katanya.


Dalam perkembangan lain jelasnya, cadangan penswastaan syarikat oleh pemegang saham majoriti, GLL (Malaysia) Pte Ltd melalui antaranya pengurangan modal yang terpilih, masih lagi diteruskan.


Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) GuocoLand yang dijadualkan berlangsung pada 29 Mei 2026, akan  membincangkan cadangan tersebut, termasuk syor pembayaran balik modal pada harga RM1.10 sesaham.


Sehubungan itu, Lembaga Pengarah kumpulan berkenaan tidak menyarankan sebarang pengagihan dividen interim bagi tempoh kewangan yang berakhir pada 31 Mac 2026. - DagangNews.com