Guna khidmat kontraktor pembinaan berdaftar elak risiko, kata persatuan kontraktor | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Guna khidmat kontraktor pembinaan berdaftar elak risiko, kata persatuan kontraktor

Khidmat kontraktor pembinaan tidak berdaftar mendedahkan kepada pelbagai risiko termasuk penipuan (gambar hiasan).
Oleh Zaki Salleh

IPOH 21 Mac - Pemilik rumah atau bangunan dinasihat mendapatkan khidmat kontraktor berdaftar bagi mengelak menjadi mangsa penipuan selain menanggung kerugian.

 

Ini kerana khidmat warga asing yang menawarkan kerja-kerja sedemikian boleh mendedahkan mereka kepada risiko.

 

Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Perak Datuk Jamaluddin Abdul Rahim berkata, kontraktor berdaftar perlu mematuhi piawaian kerja yang telah ditetapkan.

 

Menurutnya, banyak kes melibatkan individu mengupah pekerja-pekerja asing yang menawarkan upah murah berbanding kontraktor berdaftar.

 

Perak
Yang Dipertua PKMM Perak, Datuk Jamaluddin Abdul Rahim.
 

 

“Setiap kontraktor berdaftar mesti mendapatkan lesen daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) untuk menjalankan kerja selain mendapatkan tender kerajaan. 

 

“Bukan itu sahaja, kontraktor yang menjalankan kerja-kerja membaik pulih rumah mesti mempunyai lesen khas iaitu B28 selain lesen asas,” katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Berbuka Puasa PKMM Negeri Perak di sini malam tadi.

 

PKMM Perak mempunyai 875 ahli terdiri daripada kontraktor kelas G1 sehingga G7.

 

Jelas Jamaluddin, sekiranya kontraktor berdaftar melakukan kesalahan semasa pembinaan tindakan boleh diambil oleh pihak berkuasa.

 

Perak
Kontraktor berdaftar mesti mendapatkan lesen daripada CIDB dan PKK untuk menjalankan kerja (gambar hiasan).

 

Katanya lagi, ini berbeza jika menggunakan khidmat warga asing yang tidak mempunyai lesen.

 

“Kita terima banyak aduan mengenai isu ini, tapi tiada apa-apa yang boleh dibuat kerana mereka tidak berdaftar dengan CIDB.

 

“Bila mereka lari dan meninggalkan kerja separuh jalan pelanggan buntu kerana tidak dapat dihubungi serta sukar dikesan.

 

“Daripada aspek keselamatan juga sangat penting kerana jika mengupah kontraktor tidak berdaftar, ada risiko keselamatan termasuk kualiti bahan binaan yang digunakan.

 

“Ini yang pengguna tidak tahu kerana mereka hanya melihat kos atau upah yang rendah ditawar pekerja asing.

 

“Selain itu, kontraktor berdaftar pula menggunakan khidmat pekerja tempatan yang berkemahiran dan pada masa sama menyokong industri pekerjaan kita,” ujarnya. - DagangNews.com