IPOH 30 Mac – Pusat pengedaran milik Wah Seng (1986) Sdn. Bhd. di Taman Maju Rapat di sini mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi gudang pertama di Malaysia menerima penarafan GreenRE Platinum.
Ini merupakan pengiktirafan tertinggi bagi bangunan lestari di negara ini.
Wah Seng adalah syarikat pembekal barangan runcit dan makanan borong yang berpengkalan di Ipoh sejak tahun 1950.
Ia kini membekalkan pelbagai produk termasuk tenusu, daging sejuk beku serta bahan bakeri kepada lebih 800 hotel, restoran dan kafe di sekitar Perak dan Cameron Highlands, Pahang.


Pengarah Pembangunan Perniagaan Wah Seng, Shaun Lai berkata, syarikat telah memperuntukkan kira-kira RM9 juta bagi kerja naik taraf dan pengubahsuaian gudang tersebut yang dilaksanakan secara berperingkat-peringkat sejak tiga tahun lalu.
Menurut beliau, transformasi itu melibatkan pendekatan menyeluruh bermula daripada reka bentuk bangunan yang berteraskan kelestarian sehinggalah kepada operasi harian.
“Ini dengan mengintegrasikan strategi pengurusan tenaga, air dan karbon secara lebih efisien.
“Usaha ini bukan sahaja mengurangkan kesan terhadap alam sekitar, malah turut meningkatkan kecekapan operasi keseluruhan pusat pengedaran,” katanya dalam satu kenyataan.

Antara ciri utama bangunan hijau yang diterapkan termasuk sistem berprestasi tinggi serta pemasangan panel solar fotovoltaik (PV) yang menyumbang kepada penjimatan tenaga keseluruhan sebanyak 15%.
Selain itu, penggunaan air berjaya dikurangkan sebanyak 57.53% melalui pemasangan kelengkapan cekap air serta sistem penuaian air hujan, di samping usaha pengurangan pelepasan karbon menerusi penanaman pokok di sekitar kawasan gudang.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif GreenRE, Ir Ashwin Thurairajah berkata, proses penilaian terhadap fasiliti tersebut mengambil masa beberapa bulan dengan memberi penekanan kepada aspek kecekapan tenaga dan penyahkarbonan industri.
“Lebih 100 kriteria telah dinilai secara menyeluruh dan hasilnya pusat pengedaran Wah Seng ini layak menerima penarafan tertinggi kerana memenuhi semua piawaian yang ditetapkan,” jelasnya.

Penarafan GreenRE Platinum merupakan standard tertinggi bagi bangunan lestari di Malaysia yang diperkenalkan oleh Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA).
Ia hanya diberikan kepada bangunan yang memperoleh lebih 90 markah dalam aspek kecekapan tenaga, penggunaan air serta kualiti persekitaran dalaman.
Pengiktirafan ini sekali gus mengukuhkan kedudukan Wah Seng sebagai peneraju dalam mengadaptasi amalan perniagaan mampan dalam sektor pengedaran makanan di negara ini. - DagangNews.com








