Guan Huat Seng terima kelulusan penyenaraian di Pasaran ACE daripada Bursa Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Guan Huat Seng terima kelulusan penyenaraian di Pasaran ACE daripada Bursa Malaysia

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 26 NovGuan Huat Seng Holdings Berhad (GHS), sudah menerima kelulusan secara rasmi daripada Bursa Malaysia Securities Berhad untuk dapat disenaraikan di Pasaran ACE.


Pengedar dan pengeluar produk makanan berasaskan perisa dari Melaka itu berkata, ia yakin dapat menarik banyak dana pelabur tempatan dengan pengalaman luas selama lebih empat dekad.


Kata kumpulan berkenaan, melalui anak syarikatnya, Guan Huat Seng (Heng Kee) Sdn Bhd dan GHS Food Industries Sdn Bhd, mereka menawarkan rangkaian pelbagai produk makanan yang popular.


"Ini termasuk makanan laut beku dan stabil rak, produk perisa, makanan kering, snek dan barangan runcit yang umum," jelas syarikat perniagaan berkenaan dalam satu kenyataan hari ini.


Ia juga katanya, memegang beberapa sijil antaranya Halal untuk produk perisa buatan sendiri, dan menyediakan perkhidmatan kepada pemborong, peruncit, pengusaha makanan dan pengguna akhir.


GHS turut menawarkan produknya kepada pengeluar makanan di pasaran domestik dan antarabangsa, manakala terbitan awam permulaan (IPO) syarikat itu merangkumi 120 juta saham baharu.


Jumlah itu mewakili 25.34% daripada modal saham diterbitkan serta 21 juta saham sedia ada iaitu 4.44% untuk dijual melalui tawaran kepada individu yang layak termasuk pelabur Bumiputera.


Sementara itu, Pengarah Urusannya, Yeo Tien Ee berkata, IPO ini akan menjadi platform untuk memperkukuh profil korporat dan meningkatkan kesedaran pasaran terhadap produk GHS.


"Langkah ini menyokong pertumbuhan syarikat dalam industri pengedaran makanan dan minuman di Malaysia, dengan hasil IPO digunakan untuk membina kompleks kemudahan di Melaka," katanya.


Selain itu jelas beliau, dana berkenaan dijadikan modal kerja, pemasaran dan kos penyenaraian, bagi meningkatkan kecekapan operasi syarikat tersebut serta memperkukuh kedudukan pasaran.


TA Securities Holdings Berhad dilantik kumpulan tersebut untuk bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penjamin, dan ejen penempatan bagi IPO ini. - DagangNews.com