Great Asic Technology, SkyeChip dan Oppstar terima akses teknologi cip global melalui kerjasama Malaysia–Arm Limited | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Great Asic Technology, SkyeChip dan Oppstar terima akses teknologi cip global melalui kerjasama Malaysia–Arm Limited

Kerjasama dengan Arm Limited adalah sebahagian daripada strategi kerajaan memperkukuh daya tahan ekonomi negara, keselamatan teknologi serta mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan semikonduktor global
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 11 Mei – Tiga syarikat tempatan dipilih menerima tawaran di bawah Kerjasama Strategik Malaysia–Arm Limited untuk memperkukuh keupayaan negara dalam reka bentuk litar bersepadu serta mempercepatkan peralihan ke arah industri semikonduktor bernilai tinggi.

 

Tiga syarikat yang menerima tawaran tersebut ialah Great Asic Technology Sdn Bhd, SkyeChip Bhd dan Oppstar Technology Bhd yang akan dapat mengakses teknologi serta portfolio harta intelek (intellectual property, IP) Arm dalam pembangunan cip generasi baharu.

 

Melalui inisiatif ini, sebanyak empat “token” teknologi diluluskan termasuk Arm CSS (Compute Subsystems) dan Arm AFA (Arm Flexible Access), yang memberi akses kepada platform pengkomputeran serta portfolio harta intelek (intellectual property, IP) Arm.

 

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata ini adalah langkah permulaan untuk Malaysia memasuki fasa baharu industri semikonduktor yang lebih menumpukan kepada penciptaan nilai melalui reka bentuk dan pembangunan teknologi.

 

Beliau berkata, negara perlu bergerak daripada kekuatan sedia ada dalam aktiviti back-end seperti pemasangan, pengujian dan pembungkusan kepada keupayaan front-end yang merangkumi reka bentuk cip, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pembangunan harta intelek.

 

“Industri semikonduktor kini menjadi semakin penting dalam era kecerdasan buatan, pusat data, kenderaan elektrik dan automasi industri yang semuanya bergantung kepada cip berprestasi tinggi.

 

“Perubahan global turut menyaksikan peningkatan ketara dalam penggunaan tenaga oleh pusat data, apabila International Energy Agency (IEA) mengunjurkan penggunaan elektrik global bagi sektor tersebut boleh meningkat lebih dua kali ganda kepada sekitar 945 terawatt-jam menjelang 2030.

 

“Sehubungan itu, semikonduktor kini bukan sahaja dinilai berdasarkan kelajuan pemprosesan, tetapi juga kecekapan tenaga, keselamatan sistem, saiz cip yang lebih kecil serta keupayaan menyokong aplikasi digital masa hadapan,” katanya ketika berucap merasmikan majlis penyerahan tawaran itu hari ini.

 

Kerjasama dengan Arm Limited adalah sebahagian daripada strategi kerajaan memperkukuh daya tahan ekonomi negara, keselamatan teknologi serta mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan semikonduktor global.

 

Dari sudut ekonomi, Malaysia mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.2 peratus pada tahun 2025, manakala unjuran tahun 2026 dijangka berada dalam lingkungan 4 hingga 5 peratus berdasarkan data Bank Negara Malaysia.

 

Sektor elektrik dan elektronik (E&E) kekal sebagai penyumbang utama eksport negara dengan nilai RM711.61 bilion pada tahun 2025, mewakili 44.3 peratus daripada jumlah eksport keseluruhan.

 

Eksport litar bersepadu elektronik (integrated circuit, IC) turut meningkat 24.3 peratus kepada RM389.15 bilion, dipacu oleh permintaan global terhadap teknologi AI, automasi dan pendigitalan.

 

Tambahnya, perkembangan ini menunjukkan Malaysia masih kukuh dalam segmen back-end semikonduktor, namun perlu cepat beralih kepada aktiviti bernilai tinggi seperti IC design, advanced packaging, peralatan semikonduktor dan proses front-end.

 

“Usaha ini selari dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 serta Strategi Semikonduktor Nasional yang memberi tumpuan kepada industri bernilai tambah tinggi.

 

“Di bawah NSS, Malaysia menyasarkan pembangunan sekurang-kurangnya 10 syarikat semikonduktor tempatan dengan hasil antara RM1 bilion hingga RM4.7 bilion, selain menyokong lebih 100 syarikat lain yang berpotensi menjana pendapatan sekitar RM1 bilion setahun.

 

“Kerajaan turut memberi fokus kepada pembangunan bakat dengan sasaran melatih 10,000 tenaga kerja dalam bidang reka bentuk cip termasuk latihan berstruktur, pensijilan industri serta pendedahan kepada projek sebenar,” katanya.

 

Setakat ini, program ARM On-Demand Training telah merekodkan 1,362 peserta aktif daripada 2,087 pendaftaran, menunjukkan peningkatan minat terhadap bidang semikonduktor namun memerlukan penambahbaikan dari segi kualiti latihan dan padanan industri.

 

Selain itu, pembangunan ekosistem turut diperkukuh melalui IC Design Centre di Pulau Pinang serta projek penyelidikan pembungkusan termaju yang dibiayai di bawah Malaysia Science Endowment (MSE) dengan kerjasama industri.

 

Kerajaan menegaskan bahawa semua inisiatif ini akan dipantau melalui jawatankuasa pemandu khas yang melibatkan pelbagai kementerian bagi memastikan pelaksanaan kerjasama Malaysia–Arm berjalan secara teratur, telus dan berkesan.

 

Secara keseluruhan, kerjasama strategik ini menjadi langkah penting dalam usaha Malaysia beralih daripada sekadar hab pembuatan semikonduktor kepada negara yang turut mereka bentuk, membangunkan dan memiliki teknologi cip sendiri di peringkat global. - DagangNews.com