Grab Malaysia perkenalkan EV e-hailing tingkatkan pergerakan sejajar agenda kemampanan negara | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Grab Malaysia perkenalkan EV e-hailing tingkatkan pergerakan sejajar agenda kemampanan negara

Foto ihsan Kementerian Pengangkutan
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 24 Jun — Grab Malaysia memperkenalkan perkhidmatan kenderaan elektrik (EV) khusus e-hailing yang bakal meningkatkan pergerakan dan menyokong aspirasi agenda kemampanan negara.


Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, ia turut meningkatkan kualiti sistem pengangkutan awam terutama pemandu perkhidmatan terbabit sendiri di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).  


Tambahnya, Kementerian Pengangkutan (MOT) menyokong penuh inisiatif Grab Malaysia dan komited untuk mempercepatkan peralihan negara kepada sistem pengangkutan yang lebih bersih, cekap dan mesra alam.


“Pemilihan KLIA sebagai lokasi pelancaran juga sangat strategik, kerana trafiknya tinggi dan memberi pendedahan maksimum kepada pengguna berhubung usaha Malaysia meningkatkan mobiliti hijau,” katanya.


Perkhidmatan dikenali 'EV-only ride' itu menjadi pilihan tempahan dalam aplikasi Grab, dan turut disediakan EV Lounge sebagai kemudahan tambahan untuk pengguna perkhidmatan EV premiumnya di KLIA.


Bercakap pada sidang akhbar bersempena pelancaran tersebut, Anthony berkata, kerjasama awam-swasta adalah kunci utama untuk negara ini berjaya dalam mempercepatkan penggunaan EV di seluruh negara.


Menurutnya, pelancaran inisiatif baharu Grab itu menjadi pemangkin pengembangan EV bukan sahaja di Lembah Klang, malahan bandar utama seperti Johor Bahru, Pulau Pinang, Kuching dan Kota Kinabalu.


“Memorandum Persefahaman (MoU) antara Grab dan beberapa rakan strategik, termasuk penyedia EV dan syarikat pengecas baru-baru ini, mencerminkan pematuhan industri kepada aspirasi negara," katanya.


Pihak MOT pula katanya, akan terus menyokong usaha sedemikian dan beliau menggesa lebih ramai pemain industri untuk melangkah ke hadapan serta memainkan peranan dalam agenda penyahkarbonan negara.


Melalui Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030 dan Pelan Strategik MOT 2021-2025, Anthony berkata, EV dikenal pasti sebagai antara tonggak utama pengurangan karbon dan menggalakkan teknologi hijau.


Usaha sedang dilaksanakan oleh kerajaan termasuk pengecualian cukai dan insentif untuk pembelian EV, pemasangan pengecas EV serta penggunaan tenaga boleh diperbaharui dalam sektor pengangkutan.


"Selain itu, kita ada zon rendah karbon di kawasan bandar dan penyediaan infrastruktur pengecasan EV yang lebih luas, termasuk di lebuh raya, pusat beli-belah dan lapangan terbang," tambah beliau.


Sementara itu, Pengarah Operasi dan Mobiliti Negara Grab Malaysia, Rashid Shukor berkata, inisiatif baharu itu menyokong dorongan mobiliti hijau Malaysia dengan pengenalan pilihan perjalanan EV.


Dengan keutamaan laluan dengan jarak penglihatan dan permintaan tinggi seperti KLIA, mereka ingin menunjukkan keselesaan EV, sambil meningkatkan kesedaran dalam kalangan pengguna lapangan terbang.


Grab EV akan menggunakan model BYD M6, iaitu kenderaan pelbagai guna elektrik (MPV) dengan tujuh tempat duduk yang menawarkan pengalaman perjalanan lebih senyap dan lancar kepada penumpang.


"Pelancaran ini menandakan pencapaian penting ialah mengubah asas pengangkutan awam atas permintaan ke arah pelepasan rendah, menjadikan mobiliti mampan lebih mudah diakses," katanya. - DagangNews.com