Gopeng Berhad peroleh kelulusan FiT dari SEDA bagi projek tenaga biojisim 3MW di Perak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Gopeng Berhad peroleh kelulusan FiT dari SEDA bagi projek tenaga biojisim 3MW di Perak

Pemandangan dari udara pekan Gopeng di Perak - Gambar ihsan MFikri MY
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 28 Ogos - Gopeng Berhad memperoleh kelulusan di bawah sistem Tarif Galakan (FiT) bagi membangunkan loji tenaga biojisim berkapasiti eksport bersih 3 megawatt (MW) di Gopeng, Perak, sekali gus membuka ruang kepada kumpulan itu memperluaskan penglibatan dalam sektor tenaga boleh diperbaharui.

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia, Gopeng berkata anak syarikat milik penuhnya, GBS Energy Sdn Bhd menerima surat bertarikh 17 Ogos 2026 daripada Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia yang mengesahkan syarikat itu sebagai pembida berjaya bagi Kelulusan Galakan untuk 2026.

 

Projek itu akan dibangunkan di PT 5019, Mukim Teja, Kinta, Gopeng dengan jumlah kapasiti terpasang 3.8MW dan kapasiti eksport bersih 3MW.

 

SEDA sebelum ini mengumumkan GBS Energy sebagai antara sembilan pembida berjaya bagi permohonan baharu di bawah kategori biojisim untuk FiT 2026. GBS Energy membida kadar Tarif Galakan Asas sebanyak RM0.2880 setiap kilowatt-jam (kWj).

 

Kadar itu adalah antara yang terendah dalam kalangan pembida baharu biojisim yang berjaya. Tiga syarikat lain turut memperoleh kadar RM0.2880 setiap kWj, manakala kadar pembida berjaya lain dalam kategori berkenaan mencecah sehingga RM0.3790 setiap kWj.

 

Kelulusan tersebut memberikan GBS Energy laluan untuk menjual elektrik yang dijana daripada sumber biojisim kepada pemegang lesen pengagihan di bawah mekanisme FiT, tertakluk kepada syarat dan keperluan berkaitan yang ditetapkan.

 

FiT 2.0 pacu projek tenaga boleh diperbaharui

Bagi 2026, SEDA menawarkan kuota sebanyak 150MW untuk biojisim, selain 50MW bagi biogas dan 100MW bagi hidrokuasa kecil. Permohonan dibuat menerusi proses e-bida antara 10 Februari hingga 17 Mac 2026.

 

Sistem FiT membolehkan pemegang Kelulusan Galakan menjual elektrik daripada sumber tenaga boleh diperbaharui kepada pemegang lesen pengagihan pada kadar yang ditetapkan. Bagi kelulusan baharu, tempoh pembayaran FiT adalah selama 21 tahun.

 

SEDA memperkenalkan FiT 2.0 pada Oktober 2024 dengan struktur tarif dua fasa. Fasa pertama menawarkan kadar FiT tetap bagi tempoh 10 tahun, manakala bagi baki 11 tahun Perjanjian Pembelian Tenaga Boleh Diperbaharui (REPPA), syarikat yang layak membida dalam julat kadar lantai dan siling yang ditetapkan SEDA.

 

Mekanisme e-bida pula bertujuan meningkatkan persaingan dalam kalangan pemaju projek dan pemilik aset serta mendapatkan kadar FiT yang lebih kompetitif bagi tenaga daripada biojisim, biogas dan hidrokuasa kecil. Sistem FiT Malaysia dilaksanakan di bawah Akta Tenaga Boleh Baharu 2011.

 

Bagi Gopeng, kelulusan projek itu menambah satu lagi aset tenaga boleh diperbaharui dalam kumpulan menerusi GBS Energy, dengan kapasiti 3MW yang dirancang untuk dieksport ke grid apabila projek berkenaan siap dan memenuhi semua keperluan berkaitan. - DagangNews.com