KUALA LUMPUR 15 April — Golongan maha kaya China semakin kurang membeli kediaman di Amerika Syarikat (AS) dan mula mengalihkan perhatian ke beberapa negara Asia Tenggara termasuk Malaysia selain Australia, menurut data diterbitkan Juwai IQI.
Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan firma penyelidikan hartanah antarabangsa itu, Kashif Ansari berkata, Thailand telah mengatasi AS sebagai destinasi pilihan utama kelompok ultra kaya berkenaan sepanjang 2024.
Pembeli tersebut katanya, kini tertumpu kepada gaya hidup dan pelaburan, bukan lagi isu penghijrahan dengan AS jatuh daripada tempat pertama kepada ketujuh dalam kalangan senarai negara terhadap rumah berharga lebih AS$5 juta (RM22 juta).
"Britain turun daripada tempat kedua pada 2023 kepada tangga kelima pada 2024. Singapura turun daripada ketiga kepada kesembilan. Thailand melonjak daripada tempat ketujuh kepada pertama, Australia meningkat daripada keempat kepada kedua," katanya.
Lebih menarik kata beliau, Malaysia yang langsung tiada dalam senarai 10 tersebut pada 2023 namun mencipta sejarah apabila berada di tangga keempat pilihan pada 2024 mengatasi Britain, Korea Selatan, AS, Jepun, Singapura dan Sepanyol.
Kashif menambah, pada 2024, sebahagian besar iaitu 94 peratus pembeli China mencari rumah yang akan digunakan oleh mereka atau keluarga mereka sendiri manakala hanya 6.5 peratus mengatakan mereka membeli hartanah semata-mata untuk pelaburan.
"Hanya tiga peratus yang menyatakan penghijrahan sebagai faktor pembelian kediaman iaitu kurang daripada separuh bahagian pada 2023 dan turun berbanding 11 peratus pada 2019," kata beliau merujuk statistik tinjauan dilakukan Juwai IQI.
Lebih ramai pembeli hari ini kata beliau, mahukan gaya hidup, dan bukan pasport. Mereka membeli rumah percutian, perumahan untuk kanak-kanak dapat menyambung pengajian, dan kediaman yang menyokong kehidupan global kelompok itu sendiri.
Sebanyak 16 peratus mengatakan kedekatan dengan sekolah terbaik adalah keutamaan, isyarat untuk pemaju dan ejen untuk menonjolkan lokasi mesra keluarga namun pasaran seperti London, Vancouver, Sydney dan Melbourne masih menarik kohort ini.
"Penghijrahan adalah kurang penting dalam keputusan pembeli itu berbanding tahun-tahun sebelumnya. Daripada super mewah ini pada 2024, hanya tiga peratus menyebut penghijrahan sebagai faktor, berbanding 7.25 peratus pada 2023," kata Kashif.
Juwai IQI tambah beliau, bagaimanapun menjangkakan lebih banyak pembelian dalam pasaran mikro tertentu, seperti kawasan kejiranan berhampiran sekolah antarabangsa peringkat tinggi, terutama di AS, Britain, Kanada atau Australia.
Empat negara berkenaan katanya, merupakan destinasi tradisional untuk golongan maha kaya China dan beliau menasihati pemaju atau ejen untuk menekankan sudut ini dalam pemasaran bagi memaksimumkan minat pembeli tersebut. - DagangNews.com








