Golden Destinations meterai perjanjian taja jamin dengan UOB Kay Hian menjelang penyenaraian di Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Golden Destinations meterai perjanjian taja jamin dengan UOB Kay Hian menjelang penyenaraian di Pasaran ACE

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 6 MacGolden Destinations Group Berhad memeterai perjanjian taja jamin dengan UOB Kay Hian (M) Sdn Bhd menjelang penyenaraian kumpulan tersebut di Pasaran ACE Bursa Malaysia.


Langkah itu kata syarikat tersebut, melibatkan persediaan untuk cadangan tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 200 juta saham biasa baharu serta 100 juta saham sedia ada melalui tawaran jualan.


Daripada jumlah itu, 50 juta saham diperuntukkan kepada orang awam Malaysia, termasuk 25 juta bagi pelabur Bumiputera, manakala 35 juta dikhaskan kepada pengarah, pekerja dan individu yang layak.


"Sebanyak 90 juta saham pula ditawarkan untuk pelabur institusi dan terpilih, manakala 25 juta diperuntukkan kepada pelabur Bumiputera diluluskan kerajaan," kata kenyataan Golden Destinations.


Pada masa sama jelasnya, tawaran jualan melibatkan 100 juta saham sedia ada ditempatkan secara persendirian kepada pelabur Bumiputera diluluskan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.


Kumpulan itu menambah, selaras dengan perjanjian yang dimeterai berkenaan, UOB Kay Hian akan bertindak menaja jamin sebanyak 85 juta saham terbitan syarikat di bawah pelaksanaan IPO tersebut.


Sementara itu, Pengarah Urusan Golden Destinations, Mita Lim berkata, pemeteraian perjanjian taja jamin ini merupakan langkah penting dalam perjalanan korporat syarikat menuju penyenaraian awam.
 

Golden Destinations


"Dana yang diperoleh daripada IPO akan digunakan bagi menyokong rancangan pengembangan perniagaan termasuk meningkatkan tahap keupayaan operasi, serta memperluaskan penawaran produk," kata beliau.


Pihak pengurusan kumpulan itu juga ujarnya, berhasrat mengukuhkan penjenamaan syarikat dalam industri pelancongan di pasaran antarabangsa bagi memenuhi permintaan daripada pelanggan tempatan.


Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif UOB Kay Hian, David Lim berkata, firma tersebut berbesar hati apabila dilantik untuk menyokong Golden Destinations dalam proses penyenaraian awam tersebut.


Beliau berkata, syarikat itu sudah lama membina kedudukan kukuh dalam segmen pelancongan luar negara, disokong rangkaian produk pelancongan begitu luas serta platform operasi yang mantap.


"Kumpulan ini berpengalaman dalam segmen perniagaan-ke-perniagaan (B2B) melalui pakej perjalanan kepada rangkaian ejen pelancongan, berbanding jualan langsung kepada pengguna akhir," katanya.


Selain itu, Golden Destinations menawarkan pelbagai pakej ke destinasi antarabangsa menerusi rangkaian rakan global dan hubungan jangka panjang dengan ejen pelancongan tempatan. - DagangNews.com