Glomac jual 2 bidang tanah di Puchong kepada anak syarikat Sunway City bernilai RM97.3 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Glomac jual 2 bidang tanah di Puchong kepada anak syarikat Sunway City bernilai RM97.3 juta

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 5 JanGlomac Berhad melupuskan dua bidang tanah pajakan di Puchong, Selangor dengan pertimbangan tunai RM97.3 juta kepada anak syarikat Sunway City, Sunway Kiara Sdn Bhd.


Perjanjian jual beli (SPA) itu melibatkan subsidiari kumpulan pemaju tersebut, Glomac Al Batha Sdn Bhd, dengan hartanah berkenaan dikenali Lot 3 dan Lot 4 di Pekan Desa Puchong, Daerah Petaling.


Tambahnya lagi, tanah berkeluasan keseluruhan kira-kira 27,397 meter persegi itu mempunyai tempoh pajakan sehingga 25 Mac 2117 dan dikategorikan kerajaan sebagai untuk kegunaan bangunan perniagaan.


"Glomac dijangka meraih keuntungan bersih pro forma sebanyak RM28.68 juta di peringkat kumpulan melalui pelupusan tanah kosong tersebut," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.


Jelasnya, langkah strategik itu bertujuan untuk mencairkan nilai hartanah syarikat berkenaan serta meningkatkan kecekapan modal dengan hasil penjualan akan dimanfaatkan untuk beberapa tujuan.


Antaranya, RM62.21 juta diperuntukkan bagi bayaran balik pinjaman sedia ada secara serta-merta yang menjimatkan kos faedah, manakala RM35.09 juta sebagai modal kerja bagi keperluan operasi umum.


Pertimbangan jualan sebanyak kira-kira RM330 setiap kaki persegi itu ditentukan atas dasar urusan jual beli secara rela tanpa paksaan kepada mana-mana pihak berdasarkan keadaan pasaran semasa.


"Walaupun nilai tersebut berada di bawah penilaian pasaran sebanyak RM99.97 juta oleh firma penilai bebas, Lembaga Pengarah Glomac masih lagi menganggap harga tersebut adalah wajar," katanya lagi.


Perkembangan itu berdasarkan kredibiliti kewangan pembeli dan manfaat strategik kepada kumpulan, kerana Sunway Kiara, merupakan sebuah syarikat terkenal yang terlibat dalam pembangunan hartanah.


Pelupusan ini tambah kumpulan berkenaan, dijangka memberi kesan positif kepada pendapatan sesaham (EPS) dan mengurangkan kadar gear atau hutang kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 April 2026.


Pada masa yang sama jelasnya, transaksi urus niaga jual beli tersebut tidak memerlukan sebarang kelulusan daripada pemegang saham Glomac, namun tertakluk kepada kebenaran pihak berkuasa negeri. 


"Transkasi ini dijangka dimuktamadkan secara sepenuhnya menjelang suku ketiga 2026 bagi Lot 3, dan pada suku ketiga 2027 bagi Lot 4," katanya. - DagangNews.com