Globaltec meneroka kerjasama pembangunan gas metana arang batu dengan firma China di Indonesia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Globaltec meneroka kerjasama pembangunan gas metana arang batu dengan firma China di Indonesia

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 8 Jan – Globaltec Formation Berhad mula meneroka kerjasama strategik dengan PT Beijing Energy Linking (PT BJEL) bagi projek pembangunan aset gas metana arang batu (CBM) di Indonesia.


Kumpulan tersebut berkata, ia julung kali dijalinkan melalui anak syarikatnya, NuEnergy Gas Limited, yang tersenarai di Bursa Saham Australia (ASX) dengan pemeteraian perjanjian kolaborasi secara bersama. 


Perjanjian tersebut tambahnya, membabitkan pelaksanaan pembangunan di bawah kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) mineral di Tanjung Enim dan Muralim yang terletak di wilayah Sumatera Selatan.


"PT BJEL dilantik sebagai kontraktor utama untuk kerja-kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC)," jelas Globaltec dalam satu maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini.


Di bawah terma perjanjian tersebut, PT BJEL membiayai 100% aktiviti pembangunan lapangan pada harga kontrak terhad, dengan bayaran balik melalui hasil jualan gas yang akan dipersetujui kemudian.


Fasa awal fokus utama ialah Pelan Pembangunan 1 (POD-1) Tanjung Enim yang menyasarkan peningkatan pengeluaran CBM daripada sekitar sejuta kaki padu standard sehari (MMSCFD) kepada 25 MMSCFD pula.


Ia merupakan tahap pengeluaran mampan seperti diluluskan di bawah POD-1, dengan kerja melibatkan penerokaan gabungan telaga secara menegak dan mendatar, serta pembinaan kemudahan permukaan.


"Selain itu ialah pemasangan paip di lapangan, serta kerja penyepaduan dan ujian sehingga mencapai penemuan gas pertama," tambah Globaltec, yang juga memiliki kepentingan 70% dalam NuEnergy Gas.


Bagaimanapun, perjanjian berkenaan akan terbatal sekiranya kontrak EPCC POD 1 itu gagal dimeterai dalam tempoh 120 hari, berlaku pelanggaran material atau berlaku insolvensi oleh mana‑mana pihak.


Kumpulan tersebut ketika ini memiliki tiga PSC CBM di Sumatera Selatan serta sedang memajukan strategi jangka panjang untuk membina rangkaian bekalan gas CBM yang lebih berskala besar.


Sementara itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif NuEnergy Lim Beng Hong, kerjasama ini menjadi langkah transformasi yang turut menyediakan kepastian pembiayaan dan keupayaan pelaksanaan.


"Langkah berkenaan dijangka membawa industri CBM di Indonesia ke fasa pengeluaran penuh serta menyokong permintaan tenaga domestik negara jiran itu yang juga semakin meningkat," kata beliau.


PT BJEL merupakan anak syarikat Shanghai Beijing Energy Linking New Energy Development Co Ltd, dengan pemegang utamanya terlibat dalam sektor tenaga bersih dan teknologi tenaga antarabangsa.


Ini termasuk Beijing Energy International Holding Co Ltd dan Envision Nenergy International Ltd, yang merupakan dua pemain besar dari China. - DagangNews.com