IPOH 18 Dis – GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd, pengendali pasar raya Giant bertapak kembali di Tambun menerusi pembukaan Giant Bandar Baru Tambun di sini hari ini yang terletak di lokasi kejiranan strategik.
Pembukaan premis tersebut mengukuhkan kehadiran Giant serta komitmennya untuk memberi perkhidmatan kepada komuniti di Perak.
Ia selaras dengan strategi lebih luas GCH Retail (Malaysia) untuk meletakkan jenama Giant di seluruh negara dan pada masa sama mengekalkan hubungan rapat dengan komuniti.
GCH Retail (Malaysia) dalam kenyataan memberitahu, cawangan baharu ini mencerminkan fokus Giant untuk memberikan nilai, kesegaran dan akses melalui konsep ‘pasar segar rakyat’.

Konsep ini membolehkan pelanggan menikmati pelbagai pilihan produk segar, daging dan makanan laut, selain barangan keperluan harian pada harga berpatutan mengikut keperluan isi rumah.
“Dibangunkan dengan keselesaan pelanggan sebagai keutamaan, Giant Bandar Baru Tambun menawarkan persekitaran membeli-belah yang praktikal untuk komuniti sekitar.
“Selain tawaran runcit, pembukaan premis ini turut menyokong aktiviti ekonomi tempatan melalui peluang pekerjaan dan penglibatan berterusan di kawasan sekitarnya.
“Ia mencerminkan usaha berterusan Giant untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada penduduk Perak dengan kemudahan, nilai dan kesegaran,” ujar kenyataan itu.



Sempena pembukaan tersebut, pelbagai aktiviti diadakan untuk pelanggan selain tawaran promosi pembukaan eksklusif selama 4 hari di Giant Bandar Baru Tambun.
Turut dibuka bersebelahan pasar raya ini adalah cawangan baharu restoran makanan segera tempatan popular, Uncle Jack Fried Chicken.
Uncle Jack Fried Chicken menyediakan pilihan makanan segera pada harga berpatutan selain gabungan citarasa tempatan iaitu nasi lemak.
Sementara itu dalam kenyataan sama, Ketua Pegawai Eksekutif GCH Retail (Malaysia), Cheah Yong Hock memberitahu, pembukaan pasar raya Giant Bandar Baru Tambun mencerminkan halatuju syarikat.


“Kami mendengar permintaan pelanggan dan apa yang mereka mahukan adalah kualiti dan kesegaran yang tiada tandingan.
“Lokasi ini dipilih dengan tujuan untuk menawarkan 'produk segar' setiap hari.
“Cawangan ini menetapkan piawaian untuk pertumbuhan dan pengembangan kami pada masa hadapan di Perak di bawah jenama Giant,” ujarnya. - DagangNews.com








