Geohan mampu raih manfaat pertumbuhan kerja asas tanah selepas penyenaraian - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Geohan mampu raih manfaat pertumbuhan kerja asas tanah selepas penyenaraian - RHB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 20 NovRHB Research menilai prospek Geohan Corporation Berhad sebagai kukuh menjelang penyenaraian syarikat tersebut di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 5 Disember 2025.


Firma penyelidikan itu melihat kemampuan dalam melaksanakan kerja cerucuk dan geoteknik di pelbagai jenis geografi menjadi faktor utama ketika ia membida banyak projek berprofil tinggi di seluruh negara.


Justeru, firma itu menetapkan nilai saksama 64 sen sesaham berdasarkan 13 kali nisbah harga kepada pendapatan (P/E) FY26, sambil menjangka kadar pertumbuhan keuntungan tahunan 13% hingga FY27.


"Kami menilai perkembangan positif itu dipacu permintaan kerja asas tanah dalam sektor perumahan, industri, infrastruktur dan pembangunan secara bercampur," kata RHB Research dalam satu notanya.


Geohan jelasnya, menyediakan perkhidmatan asas dan geoteknik yang kritikal bagi pembinaan struktur bangunan dan infrastruktur, dengan projek perumahan kekal sebagai penyumbang terbesar kumpulan.


Kata firma tersebut, ia menjana kira-kira 52.8% daripada keseluruhan hasil syarikat berkenaan pada FY24, manakala segmen infrastruktur pula dicatatkan adalah amat kecil iaitu hanya sebanyak 2.9%.


Tambah RHB Research, keupayaan syarikat tersebut sendiri untuk bekerja di pelbagai bentuk muka bumi, termasuk zon berbukit, menjadikan ia lebih kompetitif dalam pembidaan banyak projek besar.


"Kami menjangkakan peluang luas di wilayah utara, didorong potensi projek LRT Mutiara, susulan rekod Geohan dalam pembangunan projek kereta api seperti MRT Laluan 1 dan 2 serta ECRL," katanya.


Sementara itu, di wilayah selatan tanah air, projek kediaman Causewayz Square berhampiran Kompleks CIQ Johor Bahru dijangka membuka laluan pengembangan baharu dalam jangka sederhana dan panjang.


RHB Research menambah, sehingga 22 Oktober 2025, Geohan sebenarnya sudah memiliki buku tempahan sebanyak RM390.4 juta merentasi lebih 10 projek, meskipun belum disenaraikan di Bursa Malaysia.


Berdasarkan anggaran tender industri antara RM2 bilion hingga RM3 bilion setahun bagi kontraktor cerucuk, firma itu merujuk titik tengah RM2.5 bilion bagi FY25 dengan andaian kadar kejayaan 20% untuk diraih.


"Jumlah ini sahaja bersamaan RM500 juta nilai projek baharu sepanjang tahun depan. Bagi FY26 hingga FY27, buku tender diunjur naik kepada RM3 bilion dengan kemenangan tahunan RM600 juta," katanya.


Bagaimanapun RHB Research mengenakan P/E sedikit rendah berbanding purata lima tahun Indeks Pembinaan Bursa Malaysia, mencerminkan penilaian pasaran Geohan yang kecil sekitar RM242 juta.


Namun begitu, ia turut memberi amaran mengenai pelbagai risiko utama, termasuk masalah kelembapan penambahan buku tempahan dan kos pembinaan yang meningkat tanpa pemulihan daripada pelanggannya.


Secara keseluruhan, ia berpandangan asas kukuh Geohan dan kedudukannya dalam kerja asas tanah memberikan prospek pertumbuhan yang konsisten dalam beberapa tahun akan datang. - DagangNews.com