KUALA LUMPUR 28 Ogos – Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) kini menjana kapasiti tenaga solar atas bumbung sebanyak 7.7 megawatt (MW) selepas Gentari menyiapkan Fasa 2 projek pensolaran kampus itu.
Projek terbaharu dilaksanakan Gentari Renewables Sdn Bhd itu melibatkan pemasangan sistem solar fotovolta (PV) yang berkapasiti 306.8 kilowatt (kW) di Bangunan Penyelidikan dan Pembangunan UTP.
Pemasangan ini melengkapkan sistem solar sedia ada berkapasiti 7.4MW di Kompleks Canselori dan laluan berbumbung kampus menerusi Fasa 1 pada 2022, menjadikan kapasiti keseluruhan mencecah 7.7MW.
"Dua fasa dilaksanakan susulan perjanjian pembelian tenaga solar (SPPA) selama 21 tahun, dengan Gentari mereka bentuk, membiayai, memasang dan mengendalikannya," katanya dalam kenyataan bersama.
Setakat ini, sistem PV solar UTP menjana lebih 43.5 juta kilowatt jam (kWh) tenaga elektrik bersih serta membantu mengurangkan 29,000 tan karbon dioksida setara (tCO₂e) pelepasan setiap tahun.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan dan Ketua Negara Malaysia Gentari, Shah Yang Razalli berkata, projek itu membuktikan potensi kerjasama jangka panjang dalam tenaga boleh diperbaharui (RE).

Beliau berkata, penyempurnaan Fasa 2 turut mencerminkan kekuatan kerjasama Gentari dan UTP dalam menyediakan rumusan tenaga bersih bagi menyokong matlamat jangka panjang universiti berkenaan.
Gentari merupakan syarikat rumusan tenaga bersih yang dimiliki PETRONAS dengan skop merentasi RE, hidrogen dan mobiliti hijau, serta mencatatkan kehadiran semakin kukuh di seluruh rantau Asia Pasifik.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UTP, Ir Mohamed Firouz Asnan berkata, projek tersebut merupakan satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan Kampus Rendah Karbon UTP.
Usaha berkenaan bukan sahaja memperluaskan kapasiti RE di UTP, malah menyokong agenda kelestarian universiti serta selaras dengan aspirasi Pelepasan Karbon Sifar Bersih PETRONAS menjelang 2050.
Inisiatif ini juga memperkukuh peranan UTP sebagai makmal hidup untuk pendidikan, penyelidikan dan inovasi dengan memberi peluang kepada pelajar serta penyelidik menggunakan prasarana RE sebenar.
Fasa 1 yang siap pada April 2022 meliputi keluasan 36,000 meter persegi itu pernah diiktiraf Malaysia Book of Records sebagai pemasangan solar atas bumbung tunggal terbesar di negara ini. - DagangNews.com








