KUALA LUMPUR 20 Ogos – Gentari Sdn Bhd telah memulakan pembinaan projek Maryvale Solar and Energy Storage di New South Wales (NSW), Australia selepas menerima notis kerja pada Januari 2025.
Anak syarikat tenaga bersih milik PETRONAS itu berkata, permulaan berkenaan menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha pembekalan tenaga rendah karbon boleh dipercayai di negeri tersebut.
Tambahnya, projek ini merangkumi pemasangan solar berskala besar berkapasiti 243MW sejam yang digabungkan dengan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) dengan kapasiti 172MW/409MWh sejam.
"Apabila beroperasi sepenuhnya pada masa depan, fasiliti ini dijangka mampu menyalurkan sehingga 172MW tenaga bersih yang boleh diselaraskan," kata syarikat berkenaan dalam satu kenyataan.
Jumlah tersebut tambahnya, mencukupi untuk membekalkan tenaga kepada sekitar 82,000 rumah setiap tahun, di samping mampu mengelakkan risiko sehingga 615,000 tan pelepasan karbon secara tahunan.
Sementara itu, menurut Ketua Gentari Australia, Claire Elkin, projek Maryvale mencerminkan komitmen syarikat berkenaan mempercepatkan peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui (RE) negara tersebut.
“Sebagai antara projek pertama menggunakan konfigurasi ‘DC-coupled’ di Australia, ia membuktikan keazaman kami menyediakan rumusan tenaga bersih berskala besar menyokong ketahanan grid,” katanya.
Fasiliti ini turut menerima manfaat daripada Perjanjian Perkhidmatan Tenaga Jangka Panjang (LTESA) di bawah pelan infrastruktur elektrik kerajaan NSW, yang dikendalikan oleh AEMO Services Ltd (ASL).
Agensi itu sebagai Pemegang Amanah Pengguna NSW memberikan jaminan harga lantai bagi tenaga lestari sebagai membantu mengurangkan risiko kewangan dan memudahkan pembiayaan projek tersebut.
"Projek Maryvale terletak dalam kawasan Central-West Orana RE Zon, salah satu zon pembangunan RE yang diberi keutamaan oleh kerajaan NSW dan fasiliti ini akan menstabilkan bekalan solar," kata Elkin.
Di samping itu tambah beliau, projek tersebut membolehkan penyaluran elektrik semasa permintaan tinggi, dan menawarkan perkhidmatan sokongan grid bagi meningkatkan kestabilan sistem tenaga.
Projek ini katanya, dijangka menyediakan sehingga 360 peluang pekerjaan ketika fasa puncak pembinaan dan dijangka menjana impak positif kepada rantaian bekalan elektrik wilayah di Australia sendiri.
"Kami turut mengumumkan penubuhan dana manfaat komuniti, pelaburan dalam pembangunan tenaga kerja dan keupayaan industri serta komitmen bekerjasama dengan masyarakat Orang Asli," katanya.
Limpahan daripada langkah Gentari itu tambah Elkin, turut memberi kesan kepada perniagaan tempatan, penyedia pendidikan dan agensi kerajaan untuk memastikan banyak penyertaan yang lebih inklusif.
Reka bentuk kejuruteraan, perolehan dan pembinaan dikendalikan PCL Construction, dengan modul solar dibekalkan Trinasolar, manakala BESS disediakan Contemporary Amperex Technology Australia Pte Ltd.
"Dengan penambahan projek ini, portfolio RE Gentari di Australia kini mencecah 814MW, meliputi projek solar dan hibrid solar siap dipasang dan sedang dalam pembinaan di seluruh negara," katanya. - DagangNews.com








