KUALA LUMPUR 10 April - Pengumuman gencatan senjata konflik di Timur Tengah dilihat sebagai perkembangan positif kepada sentimen pasaran global apabila ia mengurangkan kebimbangan terhadap kejutan inflasi dan pertumbuhan yang didorong oleh lonjakan harga minyak, menurut Franklin Templeton Institute.
Dalam nota kajiannya, Ketua Franklin Templeton, Stephen Dover menegaskan situasi tersebut lebih tepat ditafsirkan sebagai “kelegaan sementara” (relief rally), bukannya petunjuk pemulihan asas ekonomi yang mampan.
Menurutnya lagi, sifat gencatan senjata yang sementara dan bersyarat menuntut pelabur untuk kekal berhati-hati, khususnya dalam menilai hala tuju aset berisiko dalam tempoh terdekat.
“Pasaran bertindak balas positif dalam jangka pendek, tetapi asas risiko masih belum reda sepenuhnya. Justeru, terlalu awal untuk mengisytiharkan kemenangan,” katanya.
Petunjuk Masa Nyata Jadi Fokus
Dalam persekitaran semasa, pelabur disaran memberi perhatian kepada petunjuk masa nyata seperti pergerakan harga minyak mentah, trafik kapal tangki serta keadaan perkapalan global berbanding hanya bergantung kepada perkembangan tajuk politik.
Ini kerana faktor-faktor tersebut mencerminkan keadaan sebenar rantaian bekalan tenaga dan tahap keyakinan terhadap kestabilan geopolitik.
Antara risiko utama yang terus dipantau ialah keadaan di Selat Hormuz, laluan penting bagi perdagangan minyak dunia.
Sebarang gangguan terhadap aliran perkapalan, peningkatan kos insurans atau kelewatan transit boleh menjejaskan bekalan tenaga global sekali gus mengekalkan tekanan ke atas harga minyak.
Walaupun harga minyak mentah Brent mencatat penurunan susulan berita gencatan senjata, paras semasa masih jauh lebih tinggi berbanding sekitar AS$73 setong sebelum konflik tercetus — menandakan premium risiko geopolitik kekal ketara.
Implikasi Terhadap China dan Perdagangan Global
Dalam masa sama, pengurangan risiko tenaga berpotensi menstabilkan prospek pertumbuhan China serta menyokong aliran perdagangan global.
Perkembangan ini dilihat penting menjelang sidang kemuncak Amerika Syarikat–China yang dijadualkan berlangsung pada Mei, dengan jangkaan nada rundingan mungkin menjadi lebih konstruktif sekiranya risiko makro terus reda.
Walau bagaimanapun, pasaran kekal terdedah kepada perubahan mendadak.
Sebarang pelanggaran gencatan senjata, ancaman baharu terhadap infrastruktur tenaga atau kegagalan membuka semula laluan strategik secara berkesan berpotensi mencetuskan semula lonjakan harga minyak dan ketidaktentuan makro.
Sehubungan itu, pelabur disaran mengekalkan pendekatan berhati-hati dan bersedia menghadapi kemungkinan penilaian semula (re-rating) pasaran selepas fasa kenaikan kelegaan ini.
Pengurusan Risiko
Menurut Dover, semua pelaburan melibatkan risiko, termasuk kemungkinan kehilangan modal.
Pelaburan dalam komoditi terdedah kepada turun naik harga, spekulasi pelabur, perubahan kadar faedah, faktor cuaca serta perkembangan peraturan dan cukai.
Sekuriti ekuiti pula tertakluk kepada turun naik harga pasaran, dengan saham syarikat kecil dan sederhana lazimnya lebih berisiko berbanding syarikat besar.
Bagi sekuriti pendapatan tetap, risiko merangkumi kadar faedah, kredit, inflasi dan pelaburan semula, di samping potensi kerugian modal. Bon berpulangan tinggi khususnya lebih terdedah kepada risiko gagal bayar dan kecairan rendah.
Pelaburan antarabangsa turut melibatkan risiko tambahan seperti turun naik mata wang serta ketidaktentuan ekonomi dan politik, terutama dalam pasaran sedang pesat membangun. - DagangNews.com








