KUALA LUMPUR 9 April – Peningkatan harga komoditi terutama keluli susulan konflik di Timur Tengah kini menjadi risiko utama kepada sektor pembinaan tempatan, menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB).
Firma penyelidikan tersebut menambah, aliran kontrak pembinaan baharu namun dijangka kekal stabil, didorong pelaksanaan gelombang kedua projek pembangunan pusat data (DC) di beberapa negeri.
Katanya, walaupun ketidaktentuan geopolitik dijangka memuncak pada suku kedua, sektor itu masih mempunyai pemangkin kukuh yang mampu menyokong pertumbuhan tempahan kontrak sepanjang tahun.
"Pelaksanaan gelombang kedua projek DC dijangka menjadi pemacu utama, dengan pembangunan kampus bakal dapat dipercepatkan kontraktor sehingga hujung tahun," kata HLIB dalam notanya hari ini.
Selain itu jelas firma berkenaan, segmen air bakal menyaksikan penganugerahan kontrak bernilai tinggi susulan beberapa projek berskala besar di Perak dan Sabah sudah dimuktamadkan secara rasmi.
Ia turut menjangkakan keputusan penganugerahan tender bagi projek transit aliran ringan (LRT) di Pulau Pinang bagi segmen 2 serta pakej sistem dalam masa terdekat, dengan potensi nilai mencecah RM8 bilion.
Bagaimanapun kata HLIB, perkembangan projek transit aliran massa (MRT) fasa 3 dijangka kekal lemah berikutan proses pengambilan tanah, dengan aktiviti tender berkemungkinan hanya bermula pada 2027.

"Berdasarkan kompilasi pengumuman oleh beberapa syarikat tersenarai, jumlah kontrak domestik yang dianugerahkan pada suku pertama 2026 mencecah RM10.8 bilion," kata firma penyelidikan tersebut.
Dalam pada itu, ia turut menjangkakan aliran kerja pembinaan bagi segmen kediaman menjadi lebih perlahan dalam tempoh terdekat, dengan pemaju hartanah cenderung menangguhkan pelancaran baharu.
Sementara kontraktor pula jelas HLIB, mengambil pendekatan lebih berhati-hati dalam bidaan dengan memasukkan premium risiko lebih tinggi menyebabkan aliran kontrak menjadi lemah bagi suku berikut.
Di samping itu, firma berkenaan turut memberi amaran isu kenaikan harga komoditi akan meningkatkan tekanan kos, khususnya daripada kenaikan harga diesel yang digunakan dalam operasi jentera berat.
"Kami berpendapat yang kesan tidak langsung turut dijangka ke atas bahan utama seperti simen dan keluli, dengan kontraktor berskala besar ada kelebihan mengharungi ketidaktentuan semasa," katanya.
HLIB mengekalkan penarafan 'overweight' ke atas sektor pembinaan dengan pilihan utama Gamuda Berhad (harga sasaran RM5.60) dan Kimlun Corp Berhad (harga sasaran RM2.01). - DagangNews.com








