IPOH 30 Jun - Syarikat Green Energy Asia Biofuel Resources (GEA) akan terlibat bersama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) membangunkan aplikasi digital bagi memudahkan orang ramai menjual minyak masak terpakai.
GEA merupakan rakan kerjasama strategik MBI bagi mengitar semula minyak masak terpakai sebagai sumber biofuel dan biodiesel.
Ketua Pembangunan Perniagaan GEA, Muhammad Aswad Abdul Rashid berkata, pembangunan aplikasi tersebut adalah sebahagian daripada inisiatif memajukan kitaran ekonomi di Ipoh.
Menurut beliau, aplikasi tersebut tidak terhad kepada untuk melupus minyak masak tetapi juga lain-lain barang kitar semula.

“Untuk kolaborasi bersama MBI, kami akan membangunkan aplikasi mudah alih bagi memudahkan orang ramai melupuskan minyak masak terpakai dan juga barang kitar semula yang lain.
“Aplikasi ini adalah usaha antara MBI dan semua rakan strategik bagi merancak dan memudahkan lagi aktiviti ekonomi kitaran di Ipoh, seterusnya menambahkan lagi kutipan minyak masak terpakai,” ujarnya kepada DagangNews.
GEA baru-baru ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan MBI bagi menyambung tempoh kerjasama sebagai rakan strategik ekonomi kitaran sehingga tahun 2027.
MoU tersebut dimeterai antara pengasas Biovisma GEA, Mervyn Chong dengan Datuk Bandar Ipoh, Zamakhshari Hanipah.


Jelas Aswad lagi, lanjutan kerjasama tersebut merupakan kesinambungan pada kerjasama yang dimeterai pada tahun 2023.
Katanya, langkah ini menzahirkan komitmen GEA dalam memperkukuh ekonomi kitaran di Ipoh bagi tempoh dua tahun akan datang.
“Sepanjang 2 tahun lalu GEA telah mengutip 500 tan minyak masak terpakai termasuk dari kawasan kediaman yang mana sebanyak RM1.7 juta dibayar.
“Sehingga kini sebanyak 2,000 premis perniagaan berdaftar yang komited dalam inisiatif kitar semula minyak masak terpakai di Ipoh.
“Bagi usaha tanggungjawab sosial korporat pula, GEA sedang berusaha membangunkan fasiliti dan insfrastruktur untuk kutipan sisa perangkap minyak yang menjadi masalah pihak berkuasa tempatan di seluruh negara,” ujarnya. - DagangNews.com







