GE Vernova selenggara loji janakuasa Pulau Indah selama 21 tahun, bekal tenaga 2.5 juta rumah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

GE Vernova selenggara loji janakuasa Pulau Indah selama 21 tahun, bekal tenaga 2.5 juta rumah

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 14 Mac — GE Vernova Inc bersedia melaksanakan perkhidmatan penyelenggaraan dan rumusan perisian untuk meningkatkan segala aset, kebolehpercayaan dan ketersediaan stesen janakuasa Pulau Indah (PIPP) yang baru beroperasi pada 1 Mac 2025.
 

Firma tenaga global berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu berkata, ia selaras dengan terma perjanjian selama 21 tahun dimeterai bersama pemilik loji tersebut, Worldwide Holding Berhad (WHB), sebuah syarikat berkaitan kerajaan negeri Selangor.

 
"PIPP digerakkan oleh dua blok peralatan kitaran gabungan HA GE Vernova, yang berkuasa 1,200 megawatt (MW) dijangka mampu menghasilkan jumlah elektrik untuk memenuhi keperluan kira-kira 2.5 juta buah kediaman," katanya dalam satu kenyataan.
 

Syarikat itu berkata, di teras loji ini, dua turbin gas 9HA, yang direka bagi memaksimumkan fleksibiliti, dengan mempunyai kadar lonjakan tinggi dan masa permulaan yang cepat untuk membantu permintaan pengguna yang mungkin boleh berubah-ubah.
 

Selain itu kata GE Vernova, unit HA tersebut memiliki keupayaan untuk membakar sehingga 50 peratus hidrogen mengikut isipadu apabila dicampurkan dengan gas asli yang kini sudah pun menjadi pilihan semakin popular untuk penjanaan elektrik di Malaysia.
 

"Ia terbukti mengeluarkan kurang karbon dioksida (CO2) dan pencemar lain berbanding arang batu. Loji ini juga boleh dihidupkan atau dimatikan dengan mudah secara relatif dan memberi fleksibiliti lebih besar menangani sumber boleh diperbaharui," katanya.
 

Penggunaan gas asli kata syarikat itu, selaras hasrat Malaysia untuk mencapai pelepasan sifar bersih seawal 2050, digariskan dalam Dasar Tenaga Negara dan terus memperhalusi strategi pembangunan jangka panjang untuk mengurangkan pencemaran.
 

GE Vernova menjangka, dalam tiga dekad akan datang, ekonomi Malaysia akan berkembang tiga kali ganda saiznya, manakala populasi meningkat kepada lebih 40 juta orang yang menyaksikan permintaan tenaga di Malaysia melonjak dengan begitu ketara.
 

"Bagi PIPP, kami menyediakan dua blok berkuasa 600 MW, masing-masing terdiri daripada satu turbin gas 9HA.01, satu turbin stim STF-D650, satu penjana W88 dan satu Penjana Wap Pemulihan Haba Sekali Lalui (OT HRSG)," kata kenyataan syarikat itu.
 

Prestasi keseluruhan loji akan dipantau dan ditingkatkan dengan bantuan perisian Sistem Kawalan Teragih (DCS) Mark* VIe dari GE Vernova, yang terintegrasi rapat untuk membantu meningkatkan keterlihatan, kebolehpercayaan dan ketersediaan aset.
 

Keistimewaan sistem itu ialah ia mengurangkan kos operasi dan penyelenggaraan selain data yang dikumpul daripada sensor di seluruh kemudahan akan dipantau serta dianalisis sepanjang masa di Pusat Pemantauan dan Diagnostik GE Vernova di Greenville, AS.
 

“Kami berbangga menambah loji ini kepada 116 unit yang beroperasi di seluruh dunia, dan telah mengumpulkan lebih 3 juta jam operasi komersial, kapasiti setara dengan keperluan untuk menyokong lebih daripada 50 juta rumah AS,” katanya.


Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Asia, Gas Power, GE Vernova, Ramesh Singaram pula berkata, dengan lebih 40 tahun operasi dan pangkalan turbin gas terbesar di negara ini, GE Vernova adalah unik dari segi kelayakan untuk menyokong peralihan tenaga Malaysia. - DagangNews.com