Gas Malaysia diunjur kekal lemah sebelum pulih pada separuh kedua 2025, kata penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Gas Malaysia diunjur kekal lemah sebelum pulih pada separuh kedua 2025, kata penganalisis

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 27 Mei — Gas Malaysia Berhad diunjurkan kekal lemah pada suku kedua yang berakhir 30 Jun 2025 berikutan pengurangan bekalan disebabkan insiden kebakaran saluran paip di Putra Heights pada 1 April 2025, menurut penganalisis.


Kenanga Research bagaimanapun menjangka hasil kumpulan berkenaan sepatutnya dapat dipulihkan pada tempoh separuh kedua tahun ini berdasarkan keputusan kewangan 1QFY25 yang mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM100.1 juta.


Firma itu berkata, keputusan tersebut sudah dijangka dengan membentuk 25 peratus daripada anggaran tahunan FY25 walaupun dari segi asas tahun ke tahun (y-o-y), ia merosot sebanyak dua peratus berbanding RM102.3 juta pada 1QFY24.


"Sebaran margin yang lebih kecil daripada pembaharuan kontrak pada Januari 2025 menjejaskan keuntungan tetapi volum gas yang dinormalisasi pada 2HFY25 sepatutnya menyokong hasil dividennya menjadi lebih menarik," kata Kenanga.


Ia turut menegaskan pendapatan Gas Malaysia merosot terutamanya disebabkan oleh penurunan sebanyak 19 peratus dalam Harga Rujukan Malaysia untuk gas, walaupun terdapat peningkatan sedikit untuk permintaan semasa.


Kenanga juga masih mengekalkan harga sasaran (TP) sebanyak RM3.90 sesaham dan saranan "market perform" ke atas syarikat tersebut berdasarkan kedudukan pasarannya yang kukuh, sebagai peruncit gas asli utama di Malaysia.


“Kami menyukai Gas Malaysia kerana keterlihatan hasil teguh disokong keupayaannya mengekalkan pelanggan, biasanya melalui kontrak tiga tahun, dengan penjanaan aliran tunai percuma kukuh dan hasil dividen lebih 5 peratus," katanya.


Sementara itu, MIDF Research menyemak semula unjuran pendapatan Gas Malaysia untuk tahun ini sehingga 2027 sebagai menurun masing-masing 8 peratus, 3 peratus dan 1 peratus, memandangkan keputusan kewangannya di bawah jangkaan.


Firma itu menambah, Gas Malaysia diunjur diseret turun oleh jangkaan harga jualan purata lebih rendah bagi gas asli dan gas petroleum cecair seiring dengan ramalan harga rendah minyak mentah pada 2025 serta susulan kebakaran saluran paip.


MIDF Research menurunkan saranannya kepada “neutral” dan TP kepada RM4.48 daripada RM4.57 namun menjangkakan situasi itu akan dikurangkan oleh permintaan yang lebih tinggi untuk gas seiring dengan kepesatan aktiviti perindustrian.


Selain itu kata firma tersebut, peningkatan perbelanjaan pengguna, dan pelancaran stesen suntikan biometana Gas Malaysia baru-baru ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan bagi  menerokai tenaga boleh diperbaharui.


Stesen di Kluang, Johor itu dijangka beroperasi pada 2HFY25 dan akan menerima sumber biometana dari kilang kelapa sawit di sekitarnya serta menawarkan rumusan terpusat untuk menyuntik bahan tersebut ke dalam grid gas asli.


"Kemudahan terkini itu bakal memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk tenaga boleh diperbaharui dan bahan api hijau di tengah-tengah peralihan tenaga negara," tambah MIDF Research. - DagangNews.com