Gardenia agih lebih 1,300 bantuan persekolahan, snek kepada murid B40 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Gardenia agih lebih 1,300 bantuan persekolahan, snek kepada murid B40

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 13 Mac — Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd sekali lagi meneruskan komitmennya dalam menyokong pendidikan negara melalui program tahunan Bag-2-School diagihkan kepada murid-murid keluarga berpendapatan B40 di beberapa sekolah terpilih.
 

Syarikat itu berkata, untuk tahun ini sahaja, lebih 1,300 beg sekolah, alat tulis, dan snek-snek lazat Gardenia telah disumbangkan menerusi program ini telah diperkenalkan pada tahun 2015 di bawah payung inisiatif #GardeniaCares.
 

Aktiviti kemasyarakatan dianjurkan Gardenia KL itu bertujuan untuk membantu para pelajar dalam kalangan golongan miskin yang memerlukan bantuan persekolahan supaya mereka dapat memulakan sesi pembelajaran di sekolah dengan lebih ceria.
 

"Program ini telah menjadi inisiatif penting bagi Gardenia KL dalam usaha menyumbang kembali kepada masyarakat," kata Penolong Pengurus Besar, Hal Ehwal Korporat dan Perhubungan Awam, Gardenia KL, Yazli Muhamad Saleh dalam satu kenyataan.
 

Selain itu jelasnya, program ini memberi tumpuan kepada sekolah-sekolah yang memerlukan sokongan tambahan, termasuk yang terkesan oleh bencana alam seperti banjir serta mereka yang mempunyai pelajar dari keluarga berpendapatan rendah.

 

gardenia


Di samping aktiviti pengagihan peralatan kelengkapan asas sekolah kata beliau, Gardenia KL juga ada menyumbangkan snek jenama Gardenia Twiggies kepada semua murid dan guru yang terlibat, sebagai tanda penghargaan kepada mereka.
        

“Kami percaya setiap pelajar berhak mendapat yang terbaik dalam pendidikan mereka dan berharap ia dapat memberi sedikit kelegaan kepada keluarga serta menyuntik semangat anak-anak untuk terus mencapai kecemerlangan akademik,” katanya.

 
Gardenia KL jelas Yazli, kekal komited dalam menyokong kesejahteraan masyarakat secara menyeluruh dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini.

 

Syarikat berkenaan malah akan terus memperluaskan lagi program berbentuk tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi memberi manfaat kepada lebih ramai pelajar pada masa akan datang. - DagangNews.com