Gangguan rantaian bekalan: FMM kemukakan 12 cadangan kepada MITI lindungi operasi kilang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Gangguan rantaian bekalan: FMM kemukakan 12 cadangan kepada MITI lindungi operasi kilang

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 20 April – Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani pada Rabu ini bagi membentangkan cadangan 12 perkara yang bertujuan meringankan beban industri susulan gangguan rantaian bekalan yang berterusan.

 

Presiden FMM, Jacob Lee berkata, beberapa pengilang kini sudah mula mengurangkan waktu operasi serta tahap pengeluaran berikutan tekanan kos dan kekangan bekalan bahan mentah.

 

Beliau berkata, keadaan tersebut turut menyebabkan sebahagian kilang beroperasi dengan paras inventori yang sangat rendah, sekali gus meningkatkan risiko gangguan operasi jika situasi tidak bertambah baik dalam masa terdekat.

 

Menurutnya, jika tiada pemulihan dalam tempoh satu hingga dua bulan akan datang, sebahagian syarikat mungkin terpaksa menghentikan pengeluaran secara sementara.

 

Dalam satu tinjauan yag dilakukan FMM sebelum ini mendapati sembilan daripada 10 syarikat sudah terjejas atau dijangka menerima kesan dalam tempoh empat minggu akibat gangguan rantaian bekalan global.

 

Antara punca utama gangguan tersebut termasuk isu pada laluan perkapalan strategik seperti Selat Hormuz yang telah menyebabkan kelewatan penghantaran dan kekurangan bekalan bahan mentah di pasaran.

 

Sehubungan itu, FMM mencadangkan 12 langkah kecemasan termasuk pelepasan cukai bagi kos logistik berkaitan krisis serta pengecualian sementara duti import bagi bahan input kritikal yang diperoleh dari pasaran alternatif.

 

Cadangan lain termasuk peluasan subsidi diesel untuk industri yang bergantung kepada bahan api tinggi, penstabilan sementara tarif elektrik dan gas, serta pemerkasaan proses kelulusan bagi mendapatkan sumber bahan mentah alternatif dengan lebih cepat.

 

FMM turut memaklumkan pihaknya sedang memperincikan semula senarai produk yang terjejas bagi menilai dengan lebih tepat tahap dan skala gangguan yang berlaku dalam sektor perkilangan.

 

Dalam pada itu, Jacob berkata tanda awal tekanan terhadap pasaran buruh sudah mula kelihatan apabila angka pemberhentian pekerja meningkat pada dua bulan pertama tahun ini yang menimbulkan kebimbangan terhadap keadaan ekonomi industri.

 

Beliau menegaskan keadaan semasa masih tidak stabil untuk membuat jangkaan tepat, namun mengakui gangguan rantaian bekalan ini berkemungkinan berpanjangan dan boleh memberi kesan lebih luas kepada sektor pembuatan negara. - DagangNews.com