KUALA LUMPUR 10 April — Gangguan bekalan simen yang melanda sektor pembinaan tempatan memberi kesan ketara kepada prestasi Southern Score Builders Berhad, menurut analisis Phillip Capital.
Berdasarkan kepada perkembangan semasa itu, firma penyelidikan tersebut mengurangkan unjuran pendapatan kumpulan berkenaan bagi tahun kewangan 2026 hingga 2027 sehingga kira-kira 16%.
Ujarnya, isu kekangan bekalan bahan binaan bermula pada suku keempat FY25 sudah menjejaskan kemajuan projek serta pengebilan, sekali gus menyebabkan masalah kelewatan pengiktirafan hasil.
"Keadaan bekalan namun dilaporkan kembali pulih sejak Januari 2026 dan momentum hasil Southern Score dijangka kembali kukuh pada separuh kedua FY26," kata Phillip Capital dalam nota hari ini.
Situasi gangguan itu tambah firma tersebut, lebih kepada isu masa dan bukan kelemahan permintaan asas, dengan unjuran trajektori pertumbuhan jangka panjang kumpulan berkenaan adalah kekal utuh.
Ia turut menurunkan harga sasaran saham (TP) kepada 74 sen berbanding 75 sen, tetapi mengekalkan saranan ‘beli’ berdasarkan prospek pertumbuhan kukuh, khususnya dalam segmen pusat data (DC).

Selain itu kata Phillip Capital, tekanan kos susulan harga diesel naik 96% sejak konflik di Timur Tengah, memberi impak tambahan dianggarkan RM1.2 juta setahun kepada kos operasi Southern Score.
"Dalam perkembangan lain, syarikat ini terus melihat potensi pertumbuhan menerusi saluran projek pusat data (DC), termasuk peluang kontrak baharu yang bernilai kira-kira RM900 juta," tambahnya.
Antara yang diteroka kumpulan tersebut melibatkan tender daripada syarikat besar yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) dan dijangka dibuka untuk bidaan menjelang tempoh suku ketiga 2026.
Pada masa sama ujar Phillip Capital, projek Hospital Radium bernilai RM180 juta dijangka diperoleh menjelang pertengahan 2026, dan menyokong keterlihatan pendapatan Southern Score jangka sederhana.
Setakat ini, buku tempahan kumpulan kekal kukuh pada RM1.6 bilion, manakala buku tender berjumlah RM1.4 bilion, mencerminkan aliran projek pelbagai merangkumi sektor kediaman, DC dan kerajaan.
"Kami menjangkakan kitaran pemberian kontrak akan meningkat pada separuh kedua FY26, sekali gus menyokong pemulihan prestasi kewangan kumpulan," katanya. - DagangNews.com








