KUALA LUMPUR 8 Dis – Masalah gangguan bekalan dari Thailand susulan banjir besar di wilayah selatan memberi kelegaan kepada sektor sarung tangan tempatan, menurut Maybank Investment Bank.
Firma penyelidikan tersebut berkata, insiden berkenaan menjejaskan operasi syarikat pengeluar sarung tangan terbesar di negara itu, Sri Trang Gloves Thailand Public Company Limited (STGT).
Perkembangan ini jelasnya, dijangka mengalihkan sebahagian tempahan ke Malaysia, apabila syarikat itu menggantung operasi di fasiliti yang merangkumi 43% atau 80 barisan pengeluaran produknya.
"Ia menyumbang hampir 29% kapasiti keseluruhan syarikat tersebut yang dianggarkan keseluruhan kapasiti tahunan mencecah 51.1 bilion unit sarung tangan," kata Maybank IB dalam notanya hari ini.
Berdasarkan situasi berkenaan, firma itu menaik taraf tinjauan sektor kepada 'neutral' daripada 'negatif' kerana pembuat sarung tangan Malaysia berpotensi meraih manfaat dalam beberapa bulan.
Selain Thailand katanya, kelewatan operasi permulaan kilang di Indonesia milik sebuah pengeluar sarung tangan utama China turut mengehadkan pertumbuhan bekalan dalam masa dua suku akan datang.
Pengeluar itu kata Maybank IB, yang merancang operasi 20 barisan kini hanya mengaktifkan separuh, dan tidak agresif menurunkan harga dengan produk dijual AS$17 (RM69.83) untuk setiap 1,000 keping.
"Harga berkenaan sebenarnya hampir dengan harga pengeluar di Malaysia iaitu AS$19 (RM78), yang mencerminkan kos permulaan amat tinggi dan masih lagi belum mencapai skala ekonomi," jelasnya.
Untuk tempoh separuh pertama 2026 pula kata firma penyelidikan berkenaan, sektor ini memasuki fasa stabil dengan risiko penurunan yang lebih difahami dan banyak digambarkan dalam penilaian semasa.
Walaupun pengukuhan ringgit memberi tekanan kepada pengeksport tempatan, Maybank IB menilai kos bahan mentah lebih rendah dan usaha lindung nilai dijangka membantu margin syarikat di Malaysia.
Ia meramalkan harga jualan purata (ASP) dan volum kekal stabil dalam tiga hingga enam bulan akan datang, dengan pemain tempatan dijangka beroperasi pada kadar penggunaan kapasiti sehingga 75%.
"Bagaimanapun tekanan struktur dari China adalah kekal, dengan isu gangguan bekalan serantau memberikan ruang bernafas yang sementara kepada syarikat-syarikat Malaysia," tambah firma itu.
Maybank IB tidak menjangka penilaian semula besar-besaran bagi sektor ini tetapi melihat peluang kestabilan sementara dengan keadaan pasaran yang seimbang. - DagangNews.com








