KUALA LUMPUR 30 Okt – Gamuda Berhad terus meneguhkan kedudukan sebagai peneraju sektor pembinaan Malaysia di peringkat global selepas kejayaan terbaharu melalui anak syarikatnya di Australia.
Dua firma penyelidikan menilai situasi tersebut akan menambah keyakinan terhadap sasaran kumpulan berkenaan untuk mencapai buku tempahan sebanyak RM50 bilion menjelang tahun kewangan 2026 (FY26).
Mereka turut menyifatkan perkembangan positif tersebut sebagai baik dengan mengekalkan pandangan positif terhadap prospek syarikat, namun dengan pendekatan dan penilaian berbeza yang tersendiri.
MBSB Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap Gamuda dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada RM6.35, dan menegaskan yang kumpulan itu masih pilihan utamanya dalam sektor pembinaan.
"Kami menilai situasi semasa berikutan kedudukan kewangan kukuh, keupayaan pelaksanaan projek antarabangsa, serta strategi peluasan dalam segmen utiliti," kata firma itu dalam nota kajiannya.
Ia merujuk kejayaan usaha sama (JV) Gamuda Australia-DT Infrastructure (DTI) meraih projek menaik taraf lebuh raya Richmond Road di Sydney yang bernilai kira-kira A$170 juta (RM469.2 juta).
Kontrak itu kata MBSB Research, meliputi kerja pelebaran jalan, pembinaan jejambat baharu dan peningkatan aliran trafik, dengan jangkaan siap pada 2027 dengan margin kasar diramal sekitar 5%.
Kemenangan tersebut jelas firma itu, meningkatkan buku tempahan keseluruhan Gamuda kepada paras tertinggi RM39.3 bilion, dengan RM3.1 bilion kerja baharu sudah dimenangi setakat ini dalam FY26.
"Pengurusan juga menyasarkan RM10 bilion kontrak baharu menjelang akhir 2025, menjadikan jumlah potensi buku tempahan RM45 bilion, dan mungkin mencecah RM50 bilion menjelang FY26," tambahnya.
Selain itu MBSB Research turut menekankan senarai tender kukuh bernilai RM50 bilion, merangkumi RM30 bilion di Australia, RM10 bilion di Malaysia, serta RM10 bilion di Taiwan dan Singapura.
Projek-projek ini dijangka dianugerahkan secara berperingkat antara suku keempat 2025 hingga 2027, dengan menyifatkan Gamuda sebagai penerima manfaat utama kebangkitan semula aktiviti pembinaan.
Sementara itu, CGS International (CGSI) mengekalkan saranan 'tambah' dengan TP lebih tinggi pada RM7.30, mencerminkan keyakinan kumpulan berada di landasan untuk mencapai sasaran buku tempahan.
"Berdasarkan pertemuan dengan pihak pengurusan pada 29 Oktober 2025, Gamuda yakin pertumbuhan hasil 30% setahun dari FY25 hingga FY28, dengan sasaran hasil RM35 bilion pada FY28," katanya.
Gamuda tambah firma berkenaan, mampu meraih kontrak baharu bernilai RM28 bilion pada FY26, lebih tinggi daripada unjuran awal RM20 bilion dengan pendapatan sesaham (EPS) pada FY27 sebanyak 3%.
Ia turut merujuk fokus baharu Gamuda sendiri kepada pelbagai projek infrastruktur tenaga boleh diperbaharui (RE), terutamanya di Australia yang menyasarkan status karbon neutral menjelang 2050.
Di Malaysia kata CGSI, kerjasama dengan beberapa pihak memberi potensi nilai kerja kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bernilai RM8 bilion, dengan pendapatan berulang.
"Ini dijangka menjana sehingga RM200 juta setahun menjelang FY30, dan kami yakin Gamuda ialah satu-satunya saham yang menawarkan pertumbuhan EPS tertinggi sebanyak 27% bagi FY25 hingga FY28.
Bagaimanapun, ia memberi amaran risiko utama termasuk kelewatan penganugerahan kontrak dan kenaikan kos bahan mentah, boleh memberi kesan penarafan semula saham Gamuda. - DagangNews.com








