Gamuda semakin aktif teroka peluang besar hartanah, infrastruktur di Vietnam - CGS International | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Gamuda semakin aktif teroka peluang besar hartanah, infrastruktur di Vietnam - CGS International

PANORAMA projek Eaton Park di Ho Chi Minh City, Vietnam. - Foto kredit Gamuda Land
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 7 NovCGS International (CGSI) menyifatkan lawatannya ke Vietnam menunjukkan ada potensi pertumbuhan kukuh untuk Gamuda Berhad dalam segmen hartanah dan infrastruktur.


Justeru berdasarkan prospek besar itu, firma penyelidikan tersebut mengekalkan saranan 'tambah' ke atas saham kumpulan berkenaan dengan harga sasaran (TP) tidak berubah kepada RM7.30 sesaham.


Kunjungannya ke Ho Chi Minh City pada 4 dan 5 November 2025 mendapati, pasaran apartmen tempatan kekal kurang bekalan, disokong oleh kadar penyerapan tinggi serta peningkatan harga berterusan.


"Projek utama Gamuda, Eaton Park yang terletak di Daerah 2 bandar itu kini mencapai kadar jualan 95% selepas pelancaran fasa ketiga pada 25 Oktober 2025," jelas CGSI dalam satu notanya hari ini.


Perkembangan itu menyaksikan harga jualan naik kepada AS$7,000 (RM29,218) meter persegi (m²), berbanding AS$6,000 (RM25,045) m² pada fasa kedua dan AS$5,300 (RM22,123) m² pada fasa pertama.


Firma itu menyifatkan peningkatan harga mencerminkan lokasi strategik, akses pengangkutan baik, dan berhampiran sekolah antarabangsa, menjadikan projek ini antara pembangunan paling premium.


Satu lagi projek Gamuda di situ, Elysian dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.2 bilion, juga menunjukkan prestasi cemerlang apabila fasa pertama habis dijual sejak dilancar pada Julai 2025.


"Selain pembangunan hartanah, Gamuda kini meneroka peluang infrastruktur, termasuk penglibatan dalam tiga laluan tren MRT di Ho Chi Min City yang mempunyai kandungan terowong tinggi," jelasnya.


CGSI menjelaskan langkah ini didorong oleh perubahan dasar kerajaan Vietnam sejak Oktober 2024 yang memberi tumpuan kepada pelaburan infrastruktur, termasuk penyempurnaan rel Metro Line 1.


Projek berkenaan tambah firma penyelidikan tersebut, sudah bermula pada Disember 2024, manakala Terminal 3 Lapangan Terbang Tan Son Nhat pula dilancarkan oleh pemerintah Vietnam pada April 2025.


Gamuda juga kata firma itu, dilihat berminat terhadap potensi tinggi pembangunan Transit Oriented Development (TOD) yang mungkin digabungkan bersama-sama projek MRT melalui skim pertukaran tanah. 


"Bagaimanapun, kami menjangka kumpulan ini akan cuba berkongsi risiko melalui kerjasama strategik secara usaha sama (JV) bagi mengurangkan beban projek yang berskala besar tersebut," tambah CGSI.


Setakat Julai 2025 katanya, Gamuda sudah memiliki sebanyak lapan projek di Vietnam dengan jumlah GDV mencecah RM17.4 bilion, iaitu bersamaan 28% daripada keseluruhan GDV kumpulan tersebut.


Pasaran negara berkenaan jelas firma penyelidikan itu dijangka menyumbang 25% kepada keuntungan bersih kumpulan bagi FY25 hingga FY26, dengan syarikat turut merancang menambah lima lagi kontrak.


Ia melibatkan projek pegangan jangka panjang (QTP) dalam 12 bulan akan datang sebagai sebahagian strategi sasaran hasil hartanah RM10 bilion menjelang FY28 (berbanding RM3.8 bilion pada FY25).


"Walaupun nisbah hutang bersih dijangka meningkat melepasi 0.5 kali, kami menilai ia masih lagi terkawal di bawah paras 0.7 kali, sejajar dengan disiplin kewangan dalaman Gamuda," katanya.


CGSI turut mengambil kira situasi buku tempahan kumpulan itu mampan mencapai RM42.5 bilion daripada panduan rujukan FY25 sebanyak RM40 sehingga RM45 bilion. - DagangNews.com