Gamuda peroleh tender pembangunan bercampur di Singapura bernilai RM3.3 bilion | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Gamuda peroleh tender pembangunan bercampur di Singapura bernilai RM3.3 bilion

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 29 SeptGamuda Berhad mengukuhkan kedudukan di pasaran hartanah Singapura apabila memenangi tender pembangunan bercampur di Chencharu Close bernilai S$1.01 bilion (RM3.3 bilion).


Kumpulan itu berkata, kejayaan diperoleh menerusi kerjasama strategik bersama rakan tempatan dengan surat penganugerahan diterima daripada Lembaga Pembangunan Perumahan Singapura (HDB).


Ia memaklumkan, tender dikemukakan secara usaha sama oleh anak syarikat milik penuh Gamuda di Singapura, Gamuda (Singapore) Pte Ltd (GSPL) bersama Evia MCS Pte Ltd dan H108 Pte Ltd.


Tanah pegangan pajakan 99 tahun seluas 2.95 hektar itu terletak strategik dan diperuntukkan untuk pembangunan bercampur merangkumi kediaman, komersial, hab pengangkutan awam dan pusat penjaja.


"Pembangunan ini dijangka mengandungi sehingga 875 unit kediaman serta maksimum 12,600 meter persegi ruang komersial, yang menempatkan terminal bas," maklum Gamuda kepada Bursa Malaysia.


Kawasan tersebut juga kata kumpulan itu akan dibina pusat penjaja sebagai sebahagian keperluan pembangunan dengan jumlah keseluruhan ruang lantai kasar dibenarkan mencecah 96,007 meter persegi.


Keseluruhan pembangunan dilaksanakan melalui dua syarikat usaha sama baharu, Polaris Times Square Residences Pte Ltd dan Times Square Mall Pte Ltd, dengan GSPL akan memegang ekuiti saham 50%.


Gamuda menambah, lokasi projek tersebut yang berhampiran dengan Stesen MRT Khatib dan Northpoint City Mall memberikan projek itu kelebihan dari segi sambungan serta kemudahan sedia ada.


"Ia juga sebahagian daripada pelan induk pembangunan Chencharu yang bakal menambah sebanyak 10,000 unit kediaman baharu menjelang 2040," kata kenyataan kumpulan tersebut lagi.


Projek ini jelas syarikat itu, selaras dengan strategi pengembangan antarabangsa Gamuda dan dijangka menyumbang positif kepada pendapatan kumpulan dalam jangka sederhana hingga panjang.


Kos utama pembinaan tersebut dianggarkan S$448 (kira-kira RM1,462) bagi setiap kaki persegi, tidak termasuk kos tanah dengan pembiayaan bagi pengambilalihan tanah dilakukan melalui kombinasi.


Tambah Gamuda, ia meliputi kaedah wang tunai dan pinjaman bank oleh syarikat JV dengan struktur melibatkan 25% bayaran pendahuluan pada Oktober ini dan baki 75% menjelang Disember 2025.


Ia menegaskan pengambilalihan ini tidak melibatkan penerbitan saham baharu dan tidak memerlukan kelulusan pemegang saham serta menjangka tiada kesan ketara terhadap paras hutang atau nilai aset.


Walaupun projek ini terdedah risiko kebiasaan seperti turun naik harga hartanah, kos pembinaan, kadar faedah dan tukaran asing, Gamuda yakin ia dapat ditangani berdasarkan rekod prestasi kukuh. - DagangNews.com