KUALA LUMPUR 12 Mei - Prospek Gamuda dijangka terus disokong oleh potensi projek tenaga boleh diperbaharui lain dan utiliti domestik termasuk projek transmisi New England Renewable Energy Zone bernilai AUD3.7 bilion, menurut penganalisis.
RHB Research berkata prospek sektor tenaga boleh diperbaharui di Australia kekal kukuh susulan langkah kerajaan New South Wales (NSW) memperkenalkan undang-undang baharu bagi mempercepatkan pembangunan projek tenaga hijau utama.
Katanya, Gamuda sebelum ini turut disenarai pendek menerusi konsortium bagi projek penghantaran Tenaga Boleh Diperbaharui Zon New England di NSW dengan anggaran kos keseluruhan sekitar AUD3.7 bilion.
Sehubungan itu firma penyelidikan berkenaan mengekalkan saranan “BELI” terhadap saham Gamuda dengan harga sasaran (TP) RM6.19 sesaham, mencerminkan potensi kenaikan sekitar 38% selain jangkaan hasil FY27F sebanyak kira-kira 2%.
Harga sasaran dikekalkan RM6.19 sesaham dengan mengambil kira premium ESG sebanyak 8% berikutan skor ESG Gamuda sebanyak 3.4 berbanding median negara pada 3.0.
"Antara pemangkin utama saham itu termasuk potensi penganugerahan kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (“EPCC”) bagi Skim Bekalan Air Perak Utara yang dijangka bermula pada tahun kalendar 2026," katanya dalam nota kajian hari ini.
Sasaran Buku Tempahan RM55 Bilion
RHB Research berkata, buku tempahan pembinaan semasa Gamuda kini mencecah kira-kira RM52.2 bilion, manakala kontrak baharu bagi FY26 setakat ini berjumlah RM21.8 bilion berbanding sasaran dalaman RM27 bilion.
“Dengan kadar penggunaan buku tempahan sekitar RM10.4 bilion dari Mei hingga Disember, Gamuda perlu memperoleh tambahan kontrak baharu bernilai antara RM8 bilion hingga RM13 bilion lagi untuk mengekalkan paras buku tempahan RM50 bilion hingga RM55 bilion menjelang akhir tahun kalendar 2026,” katanya.
Sementara itu MBSB Research berkata kejayaan Gamuda meraih kontrak Ladang Solar Jinbi berkapasiti 75MW di wilayah Pilbara, Australia mengukuhkan lagi kedudukan kumpulan itu dalam sektor tenaga boleh diperbaharui (RE) di negara berkenaan selain memperluaskan sumber pendapatan berulang kumpulan.
“Gamuda kekal sebagai pilihan utama sektor pembinaan dengan portfolio pembinaan dan hartanah yang pelbagai dari segi geografi serta keupayaan kewangan yang kukuh.
“Kumpulan juga sedang mempercepat pengembangan dalam sektor utiliti dengan memanfaatkan kepakaran pembinaan dan model pemilikan aset bagi membina semula aliran pendapatan berulang,” katanya.
Selain projek tersebut, Gamuda turut terlibat dalam beberapa projek tenaga boleh diperbaharui utama di Australia termasuk Marinus Link, Goulburn River Solar Farm dan Boulder Creek Wind Farm.
MBSB Research turut mengekalkan saranan “BELI” terhadap Gamuda dengan harga sasaran RM5.60 sesaham, bersamaan penilaian 23 kali PE FY27F. - DagangNews.com








