Gamuda lakar sejarah baharu dengan buku tempahan cecah RM51.6 bilion, kemuncak pendapatan dijangka pada 2029 – RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Gamuda lakar sejarah baharu dengan buku tempahan cecah RM51.6 bilion, kemuncak pendapatan dijangka pada 2029 – RHB Research

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 11 Mei – Gamuda Berhad mencatat sejarah baharu apabila buku tempahan kumpulan itu kini melepasi paras RM50 bilion iaitu RM51.6 bilion yang menjadi paras tertinggi dalam sejarah syarikat pembinaan tersebut sekaligus mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai antara pemain infrastruktur utama di rantau ini.

 

Menurut RHB Research, pencapaian itu turut disokong oleh kekuatan perolehan kontrak baharu serta pendedahan projek berskala besar di dalam dan luar negara, termasuk Malaysia, Australia dan Taiwan.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan “Beli” terhadap Gamuda dengan menaikkan harga sasaran kepada RM6.19 daripada RM6.01 sebelum ini, yang turut mengambil kira premium ESG sebanyak 8 peratus.

 

RHB Research menjelaskan kenaikan harga sasaran tersebut mencerminkan keyakinan terhadap pertumbuhan jangka panjang kumpulan yang disokong oleh buku tempahan besar serta aliran projek berterusan.

 

“Antara pemacu utama adalah projek Kaohsiung Metropolitan Mass Rapid Transit (MRT) Xiaogang–Linyuan Line di Taiwan yang bernilai sekitar RM3.3 bilion.

 

“Daripada jumlah itu, pegangan efektif Gamuda dianggarkan RM2.3 bilion melalui usaha sama dengan rakan tempatan di Taiwan. Projek berkenaan mempunyai tempoh pelaksanaan lebih tujuh tahun empat bulan serta menggunakan struktur kontrak kos tambah yang memberikan kestabilan margin keuntungan sekitar 8 peratus,” kata firma tersebut dalam nota kajiannya.

 

RHB Research turut menyatakan projek tersebut merupakan kemenangan kontrak ke-10 Gamuda di Taiwan, sekali gus mengukuhkan lagi kehadiran syarikat dalam pasaran tersebut.

 

“Selain itu, Gamuda turut mempunyai potensi kerja tambahan di Taiwan yang dianggarkan bernilai sehingga RM8 bilion, namun masih belum dimuktamadkan.

 

“Berdasarkan kedudukan semasa, buku tempahan Gamuda yang kini mencecah RM51.6 bilion memerlukan penambahan kontrak baharu sekitar RM9 bilion hingga RM14 bilion bagi mengekalkan paras RM50 bilion hingga RM55 bilion menjelang akhir 2026,” katanya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: JV Gamuda menang kontrak MRT Kaohsiung RM3.3 bilion, projek ke-10 di Taiwan

 

RHB Research memaklumkan anggaran tersebut mengambil kira kadar pelaksanaan kerja sekitar RM10.4 bilion bagi tempoh Mei hingga Disember tahun ini.

 

Bagaimanapun, firma itu berpandangan sasaran tersebut masih boleh dicapai memandangkan Gamuda sedang membida projek bernilai sehingga RM30 bilion di pelbagai pasaran antarabangsa.

 

“Antara pemacu utama termasuk peluang dalam sektor tenaga boleh diperbaharui di Australia selepas kerajaan New South Wales memperkenalkan undang-undang baharu bagi mempercepatkan pelaksanaan projek tenaga berskala besar, termasuk yang melibatkan pusat data.

 

“Dalam perkembangan lain, Gamuda juga disenarai pendek melalui konsortium bagi projek New England Renewable Energy Zone Transmission di Australia dengan nilai anggaran sekitar AUD3.7 bilion,” katanya.

 

RHB Research turut menaikkan unjuran kemenangan kontrak baharu Gamuda bagi tahun kewangan 2026 kepada RM27 bilion berbanding RM21 bilion sebelum ini, susulan prospek tender yang lebih luas.

 

Antara projek yang telah dimenangi setakat tahun kewangan 2026 termasuk Sydney Metro West Stations Package bernilai RM7.3 bilion, Skim Bekalan Air Ulu Padas RM3.8 bilion, pusat data di Eco Business Park V RM2.1 bilion dan beberapa projek lain di Australia serta Malaysia.

 

Walau bagaimanapun, unjuran keuntungan bagi tahun kewangan 2026 tidak berubah, namun dinaikkan masing-masing sebanyak 3 peratus dan 5 peratus bagi 2027 dan 2028.

 

Firma itu menjelaskan kesan penuh projek baharu dijangka mula memberi impak kepada pendapatan kumpulan bermula tahun kewangan 2027, dengan kemuncak pertumbuhan dijangka pada 2029.

 

Secara keseluruhan, RHB Research mengekalkan saranan “Beli” terhadap Gamuda dengan harga sasaran RM6.19, berasaskan kekuatan buku tempahan rekod, aliran projek antarabangsa yang kukuh serta prospek pertumbuhan jangka panjang sektor infrastruktur global.- DagangNews.com