Gamuda giat teroka pelbagai projek mega di Australia, tingkatkan potensi margin - Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Gamuda giat teroka pelbagai projek mega di Australia, tingkatkan potensi margin - Maybank IB

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 21 Nov - Gamuda Berhad mendedahkan perancangan besar kumpulan berkenaan di Australia dalam sesi taklimat pelabur yang diadakan baru-baru ini, menurut Maybank Investment Bank.


Firma penyelidikan itu berkata, usaha tersebut menekankan penerokaan peluang terhadap banyak projek mega dan potensi peningkatan margin ke atas operasi syarikat di seluruh negara berkenaan sendiri. 


Berdasarkan perkembangan itu, ia mengekalkan saranan 'beli' dan harga sasaran (TP) RM6.17 sesaham, selaras dengan unjuran pendapatan dan kemenangan tender tahunan mencecah sebanyak RM25 bilion.


"Australia semakin penting dengan Gamuda Engineering Australia (GEA) dan DT Infrastructure (DTI) kini menyumbang 55% daripada hasil kejuruteraan kumpulan pada FY25," kata Maybank IB dalam notanya.


Kumpulan tersebut jelas firma itu, menjangkakan kedua-dua syarikatnya akan menggandakan hasil dan keuntungan menjelang FY28, walaupun margin sebelum cukai dijangka masih kekal antara 5% hingga 6%.


Antara fokus utama Gamuda tambahnya, ialah segmen tenaga boleh diperbaharui (RE) dengan projek yang panjang yang boleh mencecah nilai A$1 bilion (kira-kira RM2.67 bilion) bagi setiap kontrak diraih.


Selain itu kata Maybank IB, termasuk projek Henderson Defence Precinct bernilai A$120 bilion (RM320.69 bilion) dan grid penghantaran New England RE Zone yang dianggarkan A$10 bilion (RM26.7 bilion).


"GEA juga yakin untuk memperoleh projek rel dalam bandar iaitu Sydney Metro West yang melibatkan pembangunan lima stesen, dengan kos A$2 bilion (RM5.34 bilion), jelas firma penyelidikan tersebut.


Tambahnya, potensi margin sebelum cukai di Australia berdasarkan rekod sebelum ini adalah rendah kurang 7% berbanding lebih 8% di Malaysia dan Taiwan, selain disokong banyak faktor positif lain.


Ini jelas Maybank IB, termasuk penurunan harga solar panel dan sistem simpanan tenaga bateri (BESS), serta persaingan berkurangan selepas wabak Covid-19 dan reka bentuk projek lebih jimat kos.


Dari segi impak kewangan pula kata firma berkenaan, setiap peningkatan 25 mata asas (bps) dalam margin prabercukai dijangka menambah sebanyak RM45.3 juta kepada keuntungan bersih pada FY28.


"Kami melihat peluang pertumbuhan kukuh Gamuda di Australia, terutama melalui projek RE dan infrastruktur berskala besar, yang berpotensi meningkatkan margin," katanya. - DagangNews.com