Gagasan Nadi Cergas dapat kelulusan ambil alih majoriti ekuiti KPSSB, urus konsesi 7 asrama pelajar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Gagasan Nadi Cergas dapat kelulusan ambil alih majoriti ekuiti KPSSB, urus konsesi 7 asrama pelajar

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 26 Sept – Setelah lebih 10 bulan, Gagasan Nadi Cergas Berhad menerima kelulusan rasmi kerajaan bagi mengambil alih kepentingan majoriti dalam Konsortium PAE Sepakat Sdn Bhd (KPSSB).


Kebenaran penting itu diperoleh daripada Unit Kerjasama Awam-Swasta (UKAS), Jabatan Perdana Menteri (JPM), namun berbeza daripada cadangan asal syarikat tersebut untuk terus memiliki ekuiti 100%.


KPSSB merupakan pemegang konsesi pengurusan kemudahan asrama pelajar di tujuh politeknik seluruh negara yang meliputi Banting, Ipoh, Port Dickson, Johor Bahru, Seberang Perai, Jeli dan Kota Bharu.


Kelulusan tersebut membolehkan Gagasan Nadi Cergas memperoleh 45% kepentingan dalam Seri Delima Anggun Sdn Bhd (SDASB) dan 100% dalam Serata Ehsan Sdn Bhd (SESB) yang membentuk konsortum itu.


“Dengan struktur pegangan baharu, kumpulan ini mengawal 69.75% ekuiti dalam KPSSB, manakala baki 30.25% terus dipegang oleh pemegang saham Bumiputera sedia ada,” maklumnya kepada Bursa Malaysia.


KPSSB memegang perjanjian konsesi jangka panjang sehingga 2036 bagi membangun dan mengurus kemudahan asrama pelajar di tujuh kampus politeknik di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).


Setiap kampus berkenaan tambah Gagasan Nadi Cergas, disokong oleh syarikat tujuan khas (SPV) yang dimiliki sepenuhnya oleh KPSSB, menandakan struktur konsesi secara mantap dan lebih tersusun.


Artikel berkaitan: Gagasan Nadi Cergas beli konsesi pengurusan tujuh asrama pelajar politeknik berharga RM185 juta


Mengulas lanjut, ia menyatakan pihak lembaga pengarah bersedia meneliti implikasi strategik daripada keputusan UKAS JPM itu dan akan menentukan langkah seterusnya berkaitan cadangan pengambilalihan.


“Pengumuman berikutnya pula akan dilaksanakan dalam masa terdekat setelah penilaian secara penuh dibuat terhadap perubahan struktur pegangan yang diluluskan kerajaan,” jelas syarikat tersebut.


Menurut cadangan asal, ia merancang membeli SESB daripada dua pemegang saham iaitu Chong Ngu Chong dan Lim Eng Keong pada harga RM80 juta, manakala SDASB daripada Zulkifli Abdul pada RM105 juta.


Pengambilalihan ini dilihat sebagai langkah strategik untuk memperluaskan operasi pengurusan kemudahan dan konsesi Gagasan Nadi Cergas yang sedia ada, termasuk pengurusan asrama pelajar KPT.


Ketika ini, kumpulan itu bertanggungjawab mengendalikan konsesi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Kuantan, Pahang dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Melaka.


"Dengan skala tambahan daripada KPSSB, Gagasan Nadi Cergas dijangka mengukuhkan arus tunai berulang jangka panjang serta kedudukan pasaran dalam sektor fasiliti pendidikan," katanya.


Justeru, meskipun pengambilalihan penuh tidak diberikan seperti dirancang, kelulusan penguasaan majoriti tetap meletakkan ia dalam kedudukan strategik untuk menguasai aset konsesi kritikal.


Usaha berkenaan juga sejajar dengan aspirasi syarikat tersebut sendiri untuk memperkukuhkan pendapatan berulang dalam sektor pendidikan tinggi negara ini. - DagangNews.com