KUALA LUMPUR 19 Feb – Atlan Holdings Bhd (AHB) mengumumkan anak syarikatnya iaitu Selasih Ekslusif Sdn Bhd telah menghentikan operasi perniagaan bebas cukai di Berjaya Waterfront Johor Bahru berkuat kuasa serta-merta.
Syarikat itu juga telah menyerahkan notis penamatan Perjanjian Penyewaan bertarikh 15 Mac 2013 dengan Berjaya Waterfront Sdn Bhd sebagai pemilik premis.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Atlan berkata langkah ini diambil sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula perniagaan dan strategi operasi kumpulan.
“Sebelum ini, Selasih Ekslusif Sdn Bhd beroperasi sebagai subsidiari kepada Duty Free International Limited (DFIL) dan menawarkan produk bebas cukai di lokasi tumpuan pelancong di Johor Bahru.
“Atlan menegaskan penamatan itu tidak menjejaskan operasi kumpulan secara keseluruhan di Malaysia,” katanya dalam makluman tersebut.
Pengumuman tersebut dibuat susulan pengumuman Duty Free International Limited pada 19 Februari 2026 kepada Bursa Singapura, yang menjelaskan alasan di sebalik penamatan sewa dan penghentian operasi tersebut.
Menurut DFIL, Selasih terpaksa menamatkan operasi selepas Majlis Bandaraya Johor Bahru tidak memperbaharui lesen perniagaan walaupun terdapat beberapa usaha untuk memperbaharui lesen.
Tanpa lesen, perniagaan bebas cukai tidak boleh dijalankan secara sah.
Selasih, sebagai anak syarikat DFIL, telah mengambil langkah berdasarkan perjanjian sewa yang ditandatangani pada 15 Mac 2013 untuk menamatkan sewa premis di Berjaya Waterfront Johor Bahru.
Proses perbincangan dengan pihak Berjaya Waterfront Sdn Bhd untuk mencari persetujuan bersama gagal dicapai.
Oleh itu, Selasih meneruskan tindakan menamatkan perjanjian sewa setelah mendapatkan nasihat guaman.
Setakat ini, Berjaya masih belum memberi sebarang maklum balas terhadap notis penamatan sewa yang dihantar oleh Selasih.
Bagi kumpulan Atlan dan DFIL, Selasih sebelum ini menyumbang kira-kira 38.6 peratus kepada jumlah pendapatan kumpulan dan 4.6 peratus kepada keuntungan selepas cukai bagi tahun kewangan berakhir 28 Februari 2025.
Dengan penamatan perniagaan ini, kumpulan dijangka mencatat keuntungan bersih selepas cukai sebanyak kira-kira RM17 juta.
Keuntungan ini terhasil daripada kesan kewangan penamatan sewa, penghapusan aset, penurunan inventori, serta kos pemberhentian pekerja.
Namun, jumlah sebenar kesan kewangan masih dalam proses pengiraan dan semakan, menurut pengumuman DFIL.
Langkah penamatan ini menandakan berakhirnya operasi bebas cukai Selasih di Berjaya Waterfront, yang sebelum ini menjadi lokasi utama bagi jualan barangan bebas cukai di Johor Bahru.- DagangNews.com








