KUALA LUMPUR 22 April – Sebanyak tiga firma audit dan lapan juruaudit individu dikenakan tindakan oleh Lembaga Pemantauan Audit (AOB), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) pada tahun 2025 ekoran ketidakpatuhan terhadap piawaian audit antarabangsa.
Tindakan itu dibuat berikutan kegagalan mematuhi International Standards on Auditing (ISA) serta International Standard on Quality Management 1 (ISQM 1), menurut Laporan Tahunan AOB 2025.
AOB berkata, tindakan penguatkuasaan yang dikenakan merangkumi penalti kewangan, penggantungan pendaftaran serta larangan menjalankan aktiviti audit tertentu terhadap entiti berkepentingan awam.
Secara keseluruhan, jumlah penalti kewangan yang dikenakan adalah sebanyak RM423,750.
Daripada jumlah itu, dua firma audit dikenakan denda berjumlah RM325,000, manakala dua juruaudit individu dikenakan denda sebanyak RM98,750.
Selain penalti kewangan, sebuah firma audit dan dua juruaudit individu turut dikenakan penggantungan pendaftaran oleh AOB.
Tiga juruaudit lain pula dikenakan tindakan larangan, manakala seorang lagi dikenakan larangan bersama penalti kewangan.
Larangan tersebut merangkumi sekatan untuk menerima entiti berkepentingan awam (PIE) atau dana berjadual sebagai pelanggan, menjalankan audit ke atas PIE atau dana berjadual, serta menyediakan laporan berkaitan maklumat kewangan entiti tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, AOB turut menegaskan bahawa tindakan penggantungan terhadap Chengco Plt pada Jun tahun lalu selama dua tahun adalah disebabkan isu serius berkaitan kualiti audit.
Penggantungan itu menyebabkan firma berkenaan terpaksa menarik diri daripada mengaudit 35 syarikat tersenarai awam.
Menurut AOB, hasil pemeriksaan mendapati terdapat kelemahan ketara dalam firma-firma audit termasuk kawalan dalaman yang lemah serta kegagalan menangani isu berulang daripada semakan terdahulu.
AOB turut memaklumkan juruaudit sering gagal menjalankan semakan terperinci terhadap perkara penting seperti pelarasan kewangan, penilaian aset, akaun kumpulan serta penilaian andaian yang digunakan dalam laporan kewangan.
Selain itu, terdapat juga kelemahan dalam aspek dokumentasi serta bukti audit, khususnya berkaitan penilaian going concern, penilaian aset dan deposit tetap.
AOB menambah, rekod kerja oleh juruaudit subsidiari juga didapati tidak lengkap, sekali gus menimbulkan kesukaran untuk memastikan sama ada pendapat audit kumpulan disokong dengan sewajarnya.
AOB menegaskan bahawa semua tindakan penguatkuasaan ini bertujuan memberi isyarat jelas bahawa pelanggaran serius terhadap piawaian, etika dan keperluan kawal selia akan dikenakan tindakan tegas.
Menurutnya, langkah itu juga bertujuan memperkukuh integriti profesion audit serta memastikan firma audit meningkatkan kapasiti mereka dalam mengendalikan audit entiti berkepentingan awam dan dana berjadual pada masa hadapan. - DagangNews.com








