Gading Marine serah 4 bot FIC G2000 Mk II perkuatkan rondaan TLDM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Gading Marine serah 4 bot FIC G2000 Mk II perkuatkan rondaan TLDM

4 buah bot FIC G2000 MK II baharu yang diterima TLDM.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 13 Mac - Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menerima 4 bot laju pemintas (FIC) G2000 Mk II fasa kedua buatan syarikat tempatan, Gading Marine (M) Sdn Bhd. (Gading Marine).

 

Kesemua bot ditempatkan di Markas Pemerintahan Armada Timur, Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, Sabah.

 

Ini merupakan penghantaran kedua daripada 13 buah kesemuanya yang dibeli Kementerian Pertahanan (Mindef) pada 2021.

 

Gading Marine sebelum ini telah menyerahkan 4 buah FIC G2000 Mk II fasa pertama pada 11 Januari 2024.

 

Kapal
Ketua Setiausaha Mindef, Datuk Lokman Hakim Ali (berdiri di tengah) menyaksikan penyerahan dokumen rasmi bot FIC G2000 Mk III yang dimeterai antara Jamalolail (duduk kiri) dan Hazlin. 
 

 

Perak

 

Seterusnya baki 5 buah lagi bagi fasa ketiga dijangka diserahkan menjelang hujung tahun ini.

 

Pada 2022 Gading Marine diberikan kontrak oleh Mindef untuk membina 13 buah bot FIC G2000 bagi menampung keperluan TLDM di Malaysia Timur.

 

Ia susulan penggunaan cemerlang 6 buah FIC G2000 Mk I yang diterima pada 2021 sepanjang penugasan semasa Ops Benteng.

 

Bot G2000 Mk II ini merupakan versi ketiga daripada varian bot Siri G2000 yang dibina oleh syarikat Gading Marine.

 

Kapal
Bot FIC G2000 Mk II fasa pertama yang diterima TLDM pada 2024.

 

Kapal

 

Varian G2000 Mk II mempunyai spesifikasi yang lebih baik melalui sistem pendorong yang lebih berkuasa.

 

Ia dilengkapi sistem persenjataan Remote Control Weapon Station (RCWS) berkaliber 12.7mm dan beberapa penambahbaikan susun atur dalaman bagi memberikan lebih keselesaan kepada kru.

 

FIC ini boleh digunakan untuk mengekang kegiatan jenayah rentas sempadan seperti pendatang tanpa izin, penyeludupan, rompakan laut, pemerdagangan manusia dan pencerobohan nelayan asing.

 

Dengan kelajuan sehingga 50 knot, ia mampu memintas mana-mana bot yang menceroboh perairan negara dalam masa yang singkat.

 

Ia juga berperanan sebagai elemen sokongan pertahanan maritim negara terutamanya kepada kapal-kapal TLDM.

 

Kapal
Enam buah bot FIC G2000 Mk I TLDM.

 

Penugasan bot-bot FIC ini dapat meningkatkan keupayaan pengawasan dan pemintasan di perairan cetek dan berpulau.

 

Terdahulu, majlis penyerahan 4 buah bot FIC tersebut di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu telah disaksikan Ketua Setiausaha Mindef, Datuk Lokman Hakim Ali.

 

Ia disempurnakan antara Pengarah Urusan Gading Marine Industry, Dato’ Ir. Jamalolail Mohd Yatim dan Timbalan Setiausaha Bahagian Perolehan (B) Mindef, Hazlin Selamat.

 

Perolehan ini akan terus memperkukuh tahap kesiagaan pertahanan dan keselamatan negara di kawasan perairan Malaysia Timur. - DagangNews.com