KUALA LUMPUR 20 Jun — Gadang Holdings Berhad menerusi anak syarikatnya, Gadang Engineering (M) Sdn Bhd memperoleh kontrak daripada AFA Construction and Engineering Sdn Bhd bernilai RM92.495 juta.
Kontrak terkini berkenaan melibatkan pelebaran jajaran Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak di Pahang iaitu masing-masing Seksyen 1 dari KM19.20 ke KM39.00 dan Seksyen 2 dari KM39.00 ke KM61.50.
Kumpulan tersebut berkata, ia menerima surat penganugerahan kontrak berkenaan pada 20 Jun 2025 membabitkan pembinaan dan menyiapkan kerja tanah serta kerja-kerja berkaitan untuk Pakej 39008.
"Projek ini berlangsung dalam tempoh 18 bulan dan sebagai kontraktor, ia dijadualkan perlu disiapkan sepenuhnya pada suku terakhir 2026," kata Gadang dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Ia menambah, tender kerja-kerja pembinaan terbaharu yang diperoleh itu dijangka mampu menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan secara keseluruhan dalam tempoh kontrak berkenaan.
Tambahnya, risiko yang berkaitan dengan kontrak terutamanya membabitkan risiko operasi dan pelaksanaan biasa, akan segera ditangani oleh pihak kumpulan tersebut dengan langkah yang sewajarnya.
Tiada pengarah atau pemegang saham utama Gadang, atau individu berkaitan dengan mereka memiliki sebarang kepentingan sama ada secara langsung atau tidak dalam kontrak itu. - DagangNews.com








