KUALA LUMPUR 1 Okt – Gadang Holdings Berhad memperoleh kontrak projek Loji Janakuasa Solar Fotovoltaik Skala Besar (LSSPV) berkapasiti 15MW bernilai RM52 juta di Tawau, Sabah.
Tender diterima anak syarikat milik penuhnya, Gadang Engineering (M) Sdn Bhd dengan projek ini dilaksanakan secara usaha sama dengan JS Solar Sdn Bhd melalui Konsortium Gadang-JS Solar.
Gadang memegang 51% ekuiti dalam konsortium itu, manakala JS Solar, anak syarikat milik penuh JS Holding Berhad, yang memiliki kepakaran dalam pelaksanaan projek sistem solar menguasai baki 49%.
"Kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) ini dijangka mengambil masa selama 14 bulan untuk perlu disiapkan," kata Gadang dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Pihak pengurusan kumpulan itu menyatakan penerimaan kontrak ini adalah sebahagian daripada strategi syarikat untuk memanfaatkan keupayaan dalaman dan kepakaran luar dalam projek LSSPV.
Selain itu tambah Gadang, kontrak terbaharu berkenaan dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan syarikat sepanjang tempoh pelaksanaan sebelum siap pada suku terakhir tahun depan.
Syarikat turut memaklumkan tiada pengarah, pemegang saham utama mahupun pihak berkaitan yang mempunyai sebarang kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam kontrak tersebut.
"Berdasarkan perkembangan semasa, Lembaga Pengarah Gadang menyifatkan penerimaan kontrak ini sebagai langkah yang berkepentingan terbaik untuk syarikat dan para pemegang saham," katanya.
Usaha berkenaan juga tambah kenyataan syarikat itu, seiring dengan hala tuju jangka panjang sekali gus mengukuhkan kedudukannya dalam sektor tenaga hijau dan boleh diperbaharui negara. - DagangNews.com








