Gadang bubar Borneo Engineering & Construction setelah sudah lama tidak aktif | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Gadang bubar Borneo Engineering & Construction setelah sudah lama tidak aktif

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 9 AprilGadang Holdings Berhad membubarkan anak syarikatnya, Borneo Engineering & Construction Sdn Bhd, sebagai langkah rasionalisasi korporat dan memperkemas struktur kumpulan.


Kumpulan tersebut berkata, subsidiari berkenaan yang dimiliki secara tidak langsung sebanyak 60% merupakan entiti sudah lama tidak pernah aktif dan tiada perancangan untuk diaktifkan semula.


Pembubaran syarikat tersebut dilaksanakan melalui proses penggulungan secara sukarela oleh semua pemegang sahamnya sebelum disahkan dalam Mesyuarat Akhir yang diadakan pada 5 Januari 2026.


"Dokumen berkaitan proses pembubaran Borneo Engineering & Construction sudah dikemukakan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 9 Januari 2026," maklum Gadang kepada Bursa Malaysia. 


Langkah penggulungan subsidiari tersebut jelas kumpulan berkenaan, adalah selaras dengan peruntukan Akta Syarikat 2016, manakala syarikat tersebut dianggap dibubarkan secara rasmi pada 9 April 2026.


Sebelum pembubaran, pegangan ekuiti dalam syarikat tersebut dimiliki oleh Gadang Engineering (M) Sdn Bhd sebanyak 60%, dengan baki 40% lagi dipegang oleh individu yang bernama Hii Sing Wo.


Gadang menjelaskan yang langkah penutupan Borneo Engineering & Construction tidak memberi sebarang kesan material terhadap hasil atau aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mei 2026.


Di samping itu, langkah tersebut juga mencerminkan usaha berterusan syarikat dalam mengoptimumkan operasi serta menumpukan sumber kepada perniagaan teras," katanya. - DagangNews.com