KUALA LUMPUR 6 Mei – FWD Takaful Berhad dan MBSB Bank Berhad memeterai perjanjian strategik Bankatakaful selama 10 tahun bagi memperkukuh kerjasama dalam memperluaskan penawaran produk kewangan patuh Syariah di Malaysia.
Perjanjian tersebut merangkumi perjanjian perkhidmatan Bankatakaful yang membolehkan FWD Takaful memanfaatkan rangkaian pelanggan MBSB Bank untuk memasarkan produk takaful kepada segmen runcit, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta korporat.
Menerusi kerjasama itu, MBSB Bank akan bertindak sebagai saluran pengedaran untuk mempromosikan dan memasarkan produk takaful FWD Takaful kepada pelanggan sedia ada dan baharu bank berkenaan.
Langkah strategik ini dilihat sebagai usaha memperkukuh ekosistem kewangan Islam di Malaysia melalui gabungan kekuatan perbankan Syariah dan perlindungan takaful dalam satu rangkaian perkhidmatan bersepadu.
Ketua Pegawai Eksekutif FWD Malaysia, Aman Chowla berkata, kerjasama ini membuka akses lebih luas kepada penyelesaian kewangan yang inklusif, mudah difahami dan relevan dengan keperluan pelanggan masa kini.
“Kami berbesar hati mengumumkan kerjasama strategik ini dengan MBSB Bank sebagai satu langkah bermakna ke arah memperluas akses kepada penyelesaian kewangan yang inklusif dan bersesuaian dengan keperluan pelanggan.
“
Kami yakin gabungan inovasi digital FWD Takaful bersama ekosistem pelanggan MBSB Bank yang kukuh beserta kepakaran kami dalam menyediakan perlindungan takaful akan meningkatkan kemampuan rakyat Malaysia mendapatkan perlindungan kewangan yang lebih mudah dan mampu milik.
“Inisiatif ini juga menyokong usaha meningkatkan tahap kesedaran dan keyakinan kewangan dalam kalangan individu serta keluarga bagi memastikan masa depan yang lebih terjamin yang membentuk komuniti berdaya tahan serta dilindungi,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Berhad, Rafe Haneef berkata kerjasama ini mengukuhkan lagi tawaran nilai kepada pelanggan melalui gabungan produk perlindungan takaful dan perkhidmatan kewangan menyeluruh.
“Inisiatif tersebut selari dengan strategi kumpulan untuk menyediakan penyelesaian kewangan patuh Syariah yang merangkumi aspek pengurusan kekayaan, perlindungan dan perancangan kewangan jangka panjang.
“Kerjasama ini turut memperkukuh kedudukan MBSB dalam pasaran perbankan Islam serta memperluaskan capaian produk kewangan kepada lebih ramai pelanggan di Malaysia,” katanya.
Majlis menandatangani perjanjian tersebut disaksikan oleh barisan pengurusan tertinggi kedua-dua organisasi termasuk Aman Chowla dan Rafe Haneef.
Turut hadir ialah Pengerusi FWD Takaful, Datuk Ahmad Hizzad Baharuddin serta Pengerusi MBSB Berhad, Dato’ Wan Kamaruzaman Wan Ahmad yang menyaksikan pemeteraian kerjasama strategik itu.
Dalam majlis sama, kedua-dua pihak turut melancarkan produk baharu dikenali sebagai Takaful SmartGain iaitu pelan simpanan takaful keluarga yang menggabungkan elemen pengumpulan kekayaan dari semasa ke semasa dan perlindungan kewangan sepanjang hayat.
Kerjasama Bankatakaful ini dijangka memperkukuh landskap industri takaful di Malaysia serta meningkatkan akses masyarakat kepada produk perlindungan kewangan patuh Syariah yang lebih menyeluruh dan bersepadu. - DagangNews.com








