Fortescue bersetuju melabur dalam tenaga hidrogen hijau di Bintulu, Sarawak - PM Anwar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Fortescue bersetuju melabur dalam tenaga hidrogen hijau di Bintulu, Sarawak - PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengasas WEF dan Pengerusi Lembaga Amanah, Prof Klaus Schwab dalam program Special One-on-One Exclusive Dialogue with Forum Leadership, sempena Sidang Kemuncak Ekonomi Dunia (WEF) 2025 di Davos, Swtitzerland semalam. Gambar/FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR 23 Jan - Syarikat perlombongan logam global Australia, Fortescue, bersetuju untuk melabur dalam tenaga alternatif hidrogen hijau di Bintulu, Sarawak.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata, persetujuan itu dicapai melalui satu pertemuan dengan pasukan kepimpinan syarikat yang dipimpin oleh Pengerusi Eksekutif dan Pengasas Fortescue, Andrew Forrest AO, semasa Sidang Kemuncak Ekonomi Dunia (WEF) 2025 di Davos, Swtitzerland.

 

"Kerajaan Sarawak telah bersetuju secara prinsipnya dan saya telah menjamin beberapa insentif dan sokongan," katanya pada sidang media penutupan sempena lawatan kerjanya ke WEF 2025 seperti laporan Bernama.

 

Anwar semalam mengetuai delegasi Malaysia untuk menghadiri mesyuarat perniagaan secara bersemuka yang dianjurkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri dengan pemimpin korporat yang mewakili Fortescue, AstraZeneca, DP World, Medtronics, Nestle, dan Google.

 

Mengulas lanjut, Perdana Menteri menjelaskan, melalui pertemuan dengan syarikat-syarikat yang melabur di Malaysia, syarikat pelabuhan besar dari Dubai, DP World, yang akan beroperasi di Sepanggar, Sabah, telah menerima sokongan daripada Kerajaan Persekutuan.

 

"Untuk Sabah, yang akan mempunyai pelabuhan yang agak besar di rantau ini apabila Dubai Ports masuk, Kerajaan Persekutuan telah memaklumkan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan kerajaan Sabah untuk memberi sokongan dan kerjasama penuh," tambahnya.

 

Selain itu, beliau berkata, Google akan terus melaksanakan program besar seperti yang dilaksanakan di Selangor, iaitu pusat data yang akan memberi manfaat kepada Semenanjung Malaysia, terutamanya Johor, Pulau Pinang dan Perak.

 

Anwar menjelaskan, isu-isu berkaitan kecerdasan buatan (AI), termasuk dalam bidang perubatan dan pendidikan, turut dibincangkan dalam mesyuarat dengan syarikat-syarikat global.

 

Beliau menghadiri WEF 2025 buat pertama kali sebagai Perdana Menteri sejak memegang jawatan pada 2022 atas jemputan pengasas WEF dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah, Klaus Schwab dari 20 hingga 22 Januari 2025.

 

Sepanjang lawatan tiga hari tersebut, Anwar diiringi oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Menteri Digital, Gobind Singh Deo. - DagangNews.com