Foodie Media meterai perjanjian taja jamin bersama Maybank IB menjelang IPO di Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Foodie Media meterai perjanjian taja jamin bersama Maybank IB menjelang IPO di Pasaran ACE

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 21 OktFoodie Media Berhad mengorak langkah ke arah penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia apabila memeterai perjanjian taja jamin bersama Maybank Investment Bank Berhad.


Kumpulan pelaburan penerbitan media digital tempatan itu berkata, ia melibatkan terbitan tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 250 juta saham biasa, termasuk 138 juta saham baharu atau 15.54%.


Sementara itu, baki sebanyak 112 juta lagi merupakan saham sedia ada atau 12.61% daripada modal terbitan diperbesarkan selepas penyenaraian yang belum lagi ditetapkan bilakah tarikh sebenarnya.


"Di bawah perjanjian, Maybank IB menaja jamin sebanyak 59.4 juta saham baharu yang diperuntukkan kepada orang awam warga Malaysia dan pihak berkelayakan," kata Foodie Media dalam satu kenyataan.


Syarikat itu dan anak-anak syarikatnya merupakan kumpulan media digital serantau yang menjalankan aktiviti penerbitan kandungan digital bertemakan gaya hidup melalui pelbagai saluran media sosial.


Sehingga 30 April 2025, kumpulan tersebut sudah membangunkan 34 jenama gaya hidup yang merangkumi sektor makanan dan minuman, hartanah, kediaman, pelancongan, teknologi, sukan serta automotif.


Foodie Media ketika ini menawarkan liputannya di Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia dan Filipina dengan mencatatkan lebih 44 juta pengikut menerusi platform media sosial di lima negara ASEAN itu.


"Kumpulan ini antara kandungan gaya hidup paling berpengaruh di Malaysia, serta turut memiliki lebih satu juta pelawat unik ke beberapa blognya dalam tempoh lapan bulan kebelakangan ini," tambahnya lagi.


Sementara itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Foodie Media, Nicholas Lim Pinn Yang, penyenaraian ini akan memberi ruang kepada syarikat untuk meluaskan skala operasi dan infrastruktur teknologi.


Perkembangan tersebut jelas beliau, untuk memenuhi permintaan pasaran yang pesat berubah, dan pemeteraian itu turut mencerminkan kemajuan transformasi sebagai kumpulan media digital serantau.


"IPO ini akan memperkukuhkan kapasiti teknologi dan pengeluaran kami, seterusnya memperkuatkan hubungan antara jenama dan para pengguna di seluruh rantau Asia Tenggara sendiri,” katanya.


Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Maybank IB, Michael Oh-Lau berkata, pihaknya bertindak sebagai penasihat utama, penaja, ejen penempatan tunggal dan penaja jamin tunggal proses IPO ini.


Katanya, Foodie Media menawarkan peluang unik kepada pelabur menyertai perniagaan media digital dinamik berteraskan perusahaan kecil dan sederhana, dengan potensi melalui kerjasama strategik.


“Kami berbangga menyokong pertumbuhan seterusnya Foodie Media melalui IPO ini. Dengan pengalaman pasaran dan keupayaan nasihat yang kukuh, kami komited membimbing syarikat ini berjaya,” ujarnya.


Penyenaraian Foodie Media di Pasaran ACE bukan sahaja menandakan perluasan perniagaan, malah mencerminkan potensi sektor media digital mencipta nilai pelaburan jangka panjang. - DagangNews.com